Rabu, 20 Januari 2010

Mahasiswa dan Integriti


Oleh : Ibnu Ghazali

Syeikh Abdul Qadir Jailani merupakan tokoh yang tidak asing lagi bagi penganut sufisme. Keperibadian beliau yang terpuji bukan merupakan hujah bagi pihak untuk mengagung-agungkannya kerana beliau tidak maksum. Setiap orang mempunyai darjat masing-masing di sisi Allah SWT, hanya Allah yang mengetahui darjat kita semua. Tidak perlulah untuk kita mengukur maqam sesama kita demi kemasyhuran dan kebanggaan.



Banyak cerita yang mengisahkan perjalanan seorang wali Allah dalam mencari redha-Nya dapat kita ambil untuk dijadikan iktibar. Di sini diceritakan satu kisah Abdul Qadir Jailani untuk ditujukan khusus kepada sahabat-sahabat yang bergelar mahasiswa mahasiswi dan juga kepada diri penulis terutamanya.



Kisah di mana menceritakan dugaan dan cabaran dari Allah kepada wali-Nya yang ingin menuntut ilmu tanpa mengenepikan redha dan berkat Maha Pencipta.
Satu ketika Abdul Qadir menurut satu kafilah (rombongan orang dalam perjalanan padang pasir ; biasanya bersam barang dagangan dan unta) yang pergi ke Baghdad untuk mencari ilmu. Sampai di satu tempat yang bernama Hamdan, mereka diserang oleh enam puluh orang penyamun yang berkuda dan merampas barang-barang mereka. Tetapi tidak seorang daripada penyamun itu yang mengusik Abdul Qadir kerana sangkaan mereka Abdul Qadir tidak mempunyai apa-apa. Seorang daripada penyamun itu bertanya kepada Abdul Qadir sama ada beliau ada harta atau wang. Abdul Qadir berkata bahawa beliau ada empat puluh dinar dalam pakaiannya.


Sangka penyamun itu beliau hanya berjenaka. Seorang lain pula bertanya dan beliau menjawab serupa tadi juga. Mereka melaporkan perkara ini kepada ketua mereka dan ketua penyamun itu meminta Abdul Qadir dibawa ke depan beliau. Abdul Qadir menjawab seperti jawapan sebelumnya juga. Pakaian Abdul Qadir pun dipotong oleh penyamun itu dan benarlah ada wang empat puluh dinar.


Ketua penyamun itu bertanya kepada Abdul Qadir mengapa beliau bercakap benar. Abdul Qadir menjawab bahawa dia telah berjanji dengan ibunya supaya jangan bercakap bohong walau apapun keadaan berlaku. Apabila mendengar jawapan itu ketua penyamun itu pun menangis kerana terkenangkan yang dia sendiri telah melanggar perintah Allah sepanjang umurnya.
Pada hal Abdul Qadir tidak pernah menipu dan tidak pula melanggar perintah ibunya. Inikan pula dia yang melanggar titah perintah Allah yang Maha Besar. Ketua penyamun itu pun meletakkan tangannya pada tangan Abdul Qadir dan bersumpah tidak akan merompak lagi dan menerima beliau menjadi gurunya.


Pengikut-pengikut ketua perompak itu pun menurut ketua mereka bertaubat sama. Segala harta benda yang mereka rampas itu dikembalikan semula kepada yang empunyanya.
Tindakan Abdul Qadir ini bukanlah untuk mengejar harta, pangkat atau nama tetapi adalah kerana mencari keredhaan Allah semata-mata.



Betapa indah akhlak Syeikh Abdul Qadir Jailani. Namun, mungkin bagi sesetangah yang jahil dan ‘tolol’ menyatakan Abdul Qadir seorang Pak Pandir, lurus bendul dan pelbagai andaian lagi dilontarkan tatkala membaca kisah ini. Penulis tidak menyalahkan si penutur apabila istilah-istilah berkenaan terlontar dari mulutnya kerana situasi dan masyarakat kita sekarang telah mendidik mereka sedemikian rupa. Janganlah kita meletakkan hijab dan skeptikal terhadap kelompok seumpama ini kerana kita perlu sedar peranan dan watak yang perlu kita mainkan untuk menghidupkan jalan cerita di atas pentas dunia ini.


Apabila membicarakan perkara yang menyentuh integriti, masing-masing mengeluarkan pendapat dan pandangan. Ada yang mengaitkan integriti dengan gejala rasuah, salah guna kuasa oleh pemimpin, salah laku pelajar dan seumpamanya. Tetapi amat sedikit yang melibatkan isu ini dengan mahasiswa dan pelajar sekolah.


Menurut Encik Md. Hafizdi B. Che Md. Akhir - Institut Integriti Malaysia ( IIM) bancian terkini yang dilakukan ke atas mahasiswa pengajian tinggi di Malaysia mendapati ramai yang menyatakan mereka akan menggunakan kuasa (jawatan) yang dipegang dalam sektor pekerjaan kelak untuk kepentingan peribadi. Hal ini membimbangkan banyak pihak kerana golongan ini yang akan menggantikan barisan kepimpinan Negara dan masyarakat.


Oleh itu, IIM telah menetapkan lima fokus untuk menggerakkan Pelan Integriti Nasional (PIN) iaitu rasuah, sistem penyampain khidmat awam, tadbir urus korporat, institusi keluarga & komuniti dan kualiti hidup & kesejahteraan masyarakat.


Punca kepada pegangan mahasiswa di atas pada hemat penulis adalah kerana budaya dan cara hidup ‘pelajar bijak’ yang diamalkan oleh kita sekarang. Istilah ‘plagiarisme’ mungkin tidak biasa dalam kalangan mahasiswa tetapi perbuatan menciplak, meniru atau mencedok hak orang lain sedikitpun tidak asing.



‘Bermain’ dengan ilmu banyak adab-adabnya. Pensyarah atau guru yang memahami adab dalam menuntut ilmu akan mendidik pelajarnya supaya beradab dengan ilmu dan meletakkan beberapa garis panduan dalam manhaj pengajaran mereka. Pelajar yang memahami mesej yang disampaikan akan berusaha untuk melaksanakan amanah yang diberi sebaiknya. Tidak kurang juga ada yang memahami mesej tersebut tetapi mengambil pendekatan mudah demi kepentingan peribadi. “ ‘Pointer’ tinggi adalah impian aku!” Tidak kira apa cara sahaja yang digunakan untuk mendapatkannya. Matlamat menghalalkan cara katanya.



Dalam peperiksaan pelbagai helah digunakan untuk mendapat keputusan cemerlang. ‘Superb’ kononnya bila dapat ‘pointer’ 4.0. Tidak perlulah untuk penulis menyatakan apa strategi digunakan kerana kita semua ‘mahasiswa’. Sedarlah kita semua.
Mungkin sahabat-sahabat tidak sedar yang cara atau usaha sebegini membawa akibat yang amat besar dalam hidup. Dunia dan Akhirat. Kita boleh berjaya di dunia dengan pekerjaan yang hebat dek kerana pencapaian kita yang cemerlang. Namun, sedarkah kita hasil usaha kerja yang kita lakukan ini akan kita suap untuk makan minum keluarga kelak? Barang haram yang sedikit masuk ke dalam darah daging, maka nerakalah yang layak baginya. Nau’zubillah..


Untuk diri penulis dan mahasiwa - mahasiswi sekalian, eloklah kita sama-sama merenung kembali kisah Syeikh Abdul Qadir Jailani di atas untuk dijadikan iktibar dan semangat dalam menuntut ilmu Allah SWT. Tidak rugi untuk kita jadi jujur dalam menuntut ilmu. Jadilah mahasiswa yang berintegriti demi keredhaan dan keberkatan ilmu.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan