Rabu, 7 Julai 2010

Pembukaan Baitul Maqdis oleh Salahuddin al-Ayyubi

Oleh : IbnuGhazali

Kehebatan tokoh-tokoh pejuang Islam pada era kegemilangan Islam dahulu merupakan anugerah daripada Allah kepada umat kemudian agar mengambil pengajaran. Sultan Salahuddin al-Ayyubi merupakan salah seorang daripada mereka. Salahuddin dikenali dengan kejayaan beliau dalam membebaskan kota suci tiga agama Yahudi, Kristian dan Islam, Baitul Maqdis daripada cengkaman pasukan Salib.


Hakikat yang kita lihat pada hari ini dalam perebutan kota suci Baitul Maqdis berlaku sejak sekalian lamanya. Sejarah telah memaparkan orang Islam berjaya mentadbir dan mengimarah Baitul Maqdis dengan saksama suatu masa dahulu. Namun, akibat kerencatan puak syiah Fathimiyah timbul perbalahan antara Kaum Muslimin dengan Kaum Kristian yang selama ini bebas mengerjakan 'haji' di sana. Kaum Muslimin difitnah telah menganiaya Kaum Kristian, bertitik tolak dari perkara ini maka berlakulah penaklukan tentera Salib ke atas Baitul Maqdis pada tahun 1099 Masihi yang merupakan Perang Salib Pertama dan kemenangan memihak kepada mereka.



Perang Salib berlaku antaranya untuk menunjukkan ketaatan kuat kepada agama yang bangkit pada abad ke-11 di kalangan orang awam. Salah satu sebab ini terjadi adalah Kontroversi Istiadat Pengurniaan (di mana satria kristian menerima penghargaan dari pihak gereja) yang bermula lebih kurang pada 1075 dan masih berterusan sepanjang Perang Salib Pertama. Perkara ini telah memberi kesan yang sangat mendalam kepada seluruh penganut Kristian sehingga mereka berlumba-lumba untuk menarik sokongan umum, menyebabkan satu pengalaman keagamaan yang dramatik. Hasilnya adalah satu kesedaran spiritual Kristian dan timbulnya minat awam yang kuat terhadap agama. Ini diperkuatkan dengan propaganda keagamaan, dan sokongan untuk Perang Yang Adil untuk merampas semula Tanah Suci termasuk Baitulmuqaddis (di mana berlakunya kematian, kebangkitan semula dan naiknya Nabi Isa ke syurga) dan Antioch (bandar raya Nasrani yang pertama) daripada orang Islam. Semua ini akhirnya dinyatakan dalam sokongan popular massa untuk Perang Salib Pertama sewaktu abad ke-12.
(Wikipedia : Perang Salib)

Kekalahan Kaum Muslimin menjadi pemangkin untuk mengembalikan Baitul Maqdis ke pangkuan Islam. Salahuddin al-Ayyubi bangkit memimpin Kaum Muslimin menentang musuh Islam yang melakukan kekejaman dan penganiayaan ke atas penduduk kota suci ini. Namun, bukan Salahuddin seorang yang menjadi pahlawan dalam usaha murni ini kerana perlu diingat bahawa sumbangan ulama' dan umara' turut bersama roh pahlawan ini.


Pahlawan ummah : Salahuddin al-Ayyubi (sekadar hiasan)

Antara yang berperanan dalam membentuk keperibadian Sultan Salahuddin al-Ayyubi dan masyarakat adalah Sultan Nuruddin Zinki, Syeikh Abdul Qadir Jailani, Imam al-Ghazali dan beberapa orang tokoh agama lain. Kerjasama dan kordinasi berperingkat berjaya menyatukan umat yang berpecah belah, seterusnya berjaya melahirkan umat yang gemilang. Salahuddinlah merupakan produk terbesar.





Tokoh-tokoh reformasi : Imam al-Ghazali & Syeikh Abdul Qadir Jailani


Semangat dan roh Islam yang kuat dalam diri Pahlawan Salahuddin mengakibatkan beliau istiqamah dalam perjuangan. Keperibadian beliau melonjak ke arah kezuhudan setelah menyedari dan memahami istilah perjuangan. Kita sebagai generasi muda pada hari ini perlu mencari dan menyelidik secara mendalam keperibadian mulia Salahuddin untuk dijadikan qudwah dalam kehidupan. Salahuddin pada belah malamnya istiqamah memperhampakan diri kepada Allah dan siang harinya ligat di medan pertempuran. Jauh sekali jika dibandingkan dengan kita.


Tidak mustahil beliau mampu menguasai apa yang orang lain tidak mampu. Allah telah mengilhamkan kepadanya perancangan yang rapi dalam mencapai visi dan misi pembebasan kota suci Baitul Maqdis. Strategi dalam melancar serangan ke atas pihak Salib diatur dengan bijaksana.


"Sesungguhnya Allah tidak merubah keadaan suatu kaum sehingga mereka merubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri"
(Surah ar-Ra'd 13:11)


Maka, pada 4 Julai 1187 Masihi bersamaan 25 Rabi'ul Akhir 583 Hijrah terjadilah perang besar-besaran antara dua kekuatan Islam dan Salib yang telah lama ditunggu oleh umat Islam. Hampir setengah abad Salahuddin menyiapkan kekuatan ini iaitu semenjak beliau masih berumur belasan tahun ; ikut bertempur bersama ayah, bapa saudara dan rajanya. Dalam pertempuran Hittin ini, pasukan Salib mengalami kekalahan teruk. Dari Hittin, Salahudddin menguasai semua daerah-daerah yang dahulu diduduki oleh pasukan Salib seperti Akka, Haifa, Nablus dan Bethlehem.





Gambaran Perang Hittin : 4 Julai 1187

Ingin ditekankan di sini, kita perlu tahu dan sedar yang Perang Hittin keadaannya sama dengan Perang Badar. Perbandingan musuh jauh lebih ramai iaitu sebanyak 45,000 orang kesemuanya. Namun, kemenangan berpihak kepada pihak Islam. Apakah rahsia di sebalik ini? Seperti dinyatakan di atas, moral tentera Islam yang tinggi dan strategi perang yang canggih manjadi penyumbang kejayaan Islam dalam Perang Hittin.


Tarikh keramat 4 Julai menjadi saksi kemenangan pihak Islam seterusnya telah melunturkan semangat pihak Salib yang masih berbaki. Kejayaan ini merupakan permulaan kemenangan Kaum Muslimin dalam merebut kembali Baitu Maqdis.


Perang Hittin pembuka jalan untuk menakluk kembali Palestin!


Sama-samalah kita mengambil ibrah daripada peristiwa kemenangan pihak Islam ke atas pihak Salib dalam Perang Hittin bagi membangkitkan semangat Kaum Muslimin yang luntur kini dalam perjuangan merebut kembali Palestin daripada kaum laknatullah. Ayat Allah di atas mengandungi rahsia yang amat bermakna bagi seluruh hamba-Nya dan individu Muslim khususnya. Jangan kita biarkan tarikh kemenangan dan kekalahan Kaum Muslimin terkubur dalam timbunan sejarah.

Wallahua’lam.

RUJUKAN :
1. Kebangkitan Generasi Salahuddin dan Kembalinya Al-Aqsa ke Pangkuan Islam, Dr. Majid Irsan Kailani : ABIM, 2009
2. Rahsia Baitul Maqdis (Palestine), Muhammad Baihaqi : Al-Hidayah Publication, 2007
3. http://ms.wikipedia.org/wiki/Laman_Utama
4. http://www.mindamadani.my


Nota : Artikel ini pernah disiarkan pada 4 Julai 2009 (Menyingkap Peristiwa 4 Julai : Bermulanya Penaklukan)










Tiada ulasan:

Catat Ulasan