Jumaat, 28 Mei 2010

'Preview' Buku : Perjuangan Al-Ghazali ; Menegakkan Kebenaran & Menghapuskan Kebatilan

Pengenalan 

Buku “Perjuangan Al-Ghazali ; Menegakkan Kebenaran & Menghapuskan Kebatilan” adalah hasil karangan Salih Ahmad al-Syami dan telah diterjemahkan oleh Basri bin Ibrahim al-Hassani al-Azhari terbitan Perniagaan Jahabersa.

Imam al-Ghazali merupakan tokoh ulama’ yang tidak asing lagi kepada umat Islam di seluruh dunia. Di mana sahaja kita pergi, nama beliau menjadi sebut-sebutan umat, walaupun pendirian umat Islam sendiri terhadap beliau berbeza-beza. Beliau adalah seorang tokoh mujaddid dan pejuang kebenaran yang tidak pernah merasa penat dalam perjuangannya menegakkan kebenaran dan menghapuskan kebatilan tanpa mengira dari siapa ianya datang. Kepekaan beliau kepada masalah dan isu umat Islam tidak dapat dipisahkan dari kehidupannya. Kerana itu beliau tidak pernah segan untuk menyinsing lengan bajunya bagi membetulkan mana-mana kesalahan yang dilakukan di kalangan umat Islam baik yang menyentuh dalam masalah social, politik mahupun ekonomi.


Al-Ghazali adalah penyelamat umat Islam dari serangan-serangan ajaran yang menyeleweng dari Islam yang ditaja oleh golongan Muktazilah, Falsafah, Ahli-ahli sufi dan lain-lain. Kewujudan beliau menjadikan benteng ahli sunnah wal jamaah begitu kukuh dan perjuangan beliau telah disambung oleh ulama’-ulama’ selepas beliau hinggalah ke zaman ini. Kadang-kadang kritikan beliau agak keras sehingga beliau menggunakan istilah ulama’ su’ atau ulama’ jahat, sedangkan ulama’ sebagaimana yang makruf diketahui adalah golongan yang menjadi pembimbing umat ke jalan kebenaran al-Quran dan al-Hadith. Beliau menggunakan istilah ini bagi menarik peri pentingnya ulama’ di zaman beliau dan seterusnya ulama’ di zaman kita ini kembali memainkan peranan dalam masyarakat sebagai pemimpin ke jalan kebenaran bukannya pemimpin ke jalan kebendaan dan menjual agama dengan harga yang murah.

Al-Ghazali adalah gambaran hidup seorang ulama’ yang tidak mudah berpuas hati dengan pencapaian yang beliau perolehi dalam sesuatu bidang, sebaliknya beliau meneroka ke dalam bidang-bidang yang lain yang diperlukan bagi menghadapi keperluan umat di zaman itu. Beliau juga merupakan seorang tokoh yang berjaya menyerang dan menghapuskan kebatilan ajaran yang menyeleweng dari Islam dengan menggunakan senjata yang dimiliki oleh pelopor ajaran yang menyeleweng itu sendiri. Buku ini cukup baik untuk tatapan para pembaca khususnya kepada pecinta kebenaran dan berhasrat ingin melihat para ulama’ mengikuti jejak langkah Hujjatul Islam Imam al-Ghazali dalam menghadapi isu-isu baru yang muncul di alaf baru ini.

Buku ini telah dibahagikan kepada lima Bab dan setiap Bab mengandungi beberapa fasal yang ditulis mengikut susunan dimulakan dengan biografi Imam al-Ghazali. Bab Pertama yang mengandungi lima Fasal menyentuh tentang keperibadian Imam al-Ghazali. Bab Kedua pula menceritakan kemunculan Imam al-Ghazali dalam disiplin Ilmu dan meliputi enam Fasal. Manakala, Bab Ketiga yang mengandungi empat Fasal fokus pada topik al-Ghazali dan Tasawuf. Seterusnya, Bab Empat menceritakan karangan besar Hujjatul Islam iaitu Kitab Ihya’ Ulumuddin yang meliputi lima Fasal. Bab akhir (Lima) juga mengandungi lima Fasal membicarakan peranan Imam al-Ghazali sebagai tokoh islah.


BAB 1 : KEPERIBADIAN IMAM AL-GHAZALI

Fasal Pertama : Ringkasan Latar Belakang Sejarah Hidup

Ringkasan kepada fasal ini adalah berkenaan permulaan hidup al-Ghazali. Beliau lahir pada tahun 450 Hijrah di Tus, wilayah Khurasan, Iraq. Nama sebenar al-Ghazali ialah Abu Hamid al-Ghazali Muhammad bin Muhammad. Beliau mempunyai seorang saudara yang bernama Ahmad. Kedua beradik ini telah diasuh oleh bapa mereka yang amat pentingkan ilmu agama. Selepas kematian bapa, mereka diasuh oleh seorang sufi yang juga sahabat bapa mereka.

Apa yang menarik di sini adalah, bapa mereka telah berpesan :

“Saya sungguh menyesal kerana tidak dapat mempelajari tulisan. Saya ingin kedua anak saya ini mempelajari apa yang saya tidak sempat pelajari itu. Ajarkanlah keduanya seni tulisan. Anda boleh menggunakan segala kemudahan yang saya tinggalkan untuk keduanya”.

Sungguh hebat pengorbanan seorang ayah demi melihat anak-anak mereka berjaya.

Kesan motivasi inilah telah menjadikan al-Ghazali seorang yang cintakan ilmu dan sentiasa dahagakan ilmu sehingga sanggup bekorban apa sahaja. Diceritakan dalam fasal ini, Imam al-Ghazali telah menjelajah ke merata tempat untuk menimba ilmu sehingga tidak terkira bilangan gurunya. Antara guru besar Imam al-Ghazali ialah Imam al-Haramain Abu al-Ma’ali al-Juwaini (419-478H).

Dalam fasal ini juga menceritakan kelebihan Imam al-Ghazali dalam menuntut ilmu. Imam al-Ghazali seorang yang sangat pintar, tajam pandangannya, menakjubkan fikrahnya, luar biasa daya pemahamannya, kuat daya hafalannya, jauh wawasannya dan kuat daya tanggapan terhadap makna-makna yang halus yang sukar difahami oleh orang lain sehingga gurunya Imam al-Juwaini menyifatkan Imam al-Ghazali sebagai lautan yang tidak bertepi.

Ramai yang menjadikan Imam al-Ghazali sebagai tempat rujukan dalam pelbagai disiplin ilmu akibat kelebihan yang dimilikinya. Kedudukannya begitu tinggi dan gemilang di Baghdad sehingga menenggelamkan kemasyhuran ulama’, pembesar dan pihak istana sendiri. Beliau menjadi tokoh ulama’ terkenal di Iraq setelah menjadi tokoh ulama’ terkenal di Khurasan.

Ketika kemuncak kegemilangan, beliau mengalami pergolakan dalam jiwanya. Bermula daripada waktu ini, Imam al-Ghazali mula mengkaji karya-karya karangan tokoh-tokoh sufi terkenal. Baginya, tidak ada jalan yang baik untuk mengecapi kebahagiaan di akhirat kecuali dengan takwa dan menahan diri dari mengikut hawa nafsu.

Lalu beliau mengambil jalan tasawuf setelah mengalami pergolakan jiwa untuk memperbaiki dirinya. Imam al-Ghazali telah berhijrah ke merata tempat selama lebih kurang 10 tahun. Antaranya ialah Syam dan Baitul Maqdis. Selama penghijrahan ini, beliau telah menjalani disiplin-displin dalam mengikut tariq tasawuf dengan bergurukan guru mursyid. Dalam tempoh uzlahnya Imam al-Ghazali ini, beliau telah menghasilkan kitab yang cukup masyhur hingga sekarang iaitu Ihya’ Ulumuddin.

Setelah tempoh ini, Imam al-Ghazali telah kembali semula ke tempat asalnya untuk kembali berkhidmat kepada umat. Inilah yang dikatakan konsep Berundur dan Kembali. Diri Imam al-Ghazali sebelum dan selepas terlibat dalam dunia tasawuf amat berbeza sekali.

Pada akhir umurnya, Imam al-Ghazali telah kembali ke rumahnya di Tus. Di sini, Imam al-Ghazali menumpukan mengkaji hadith Nabi SAW, bertukar fikiran dengan para ahlinya dan mentelaah dua kitab Hadith Sahih iaitu Bukhari dan Muslim. Jika umur beliau panjang, tidak mustahil beliau dapat mengatasi orang lain dalam bidang hadith.

Imam al-Ghazali telah meninggal di Tus pada hari Isnin 14 Jamadil Akhir tahun 505 Hijrah.

Fasal Kedua : Pengetahuan Al-Ghazali

Fasal ini berkisar tentang bidang ilmu yang dikuasai oleh Imam al-Ghazali selain daripada karangan-karangan yang beliau tulis dan guru-guru yang telah mendidik beliau. Antara karya besar yang dihasilkan oleh Imam al-Ghazali dan menjadi rujukan hingga ke hari ini adalah Ihya’ Ulumuddin, al-Munqiz Min al-Dalal dan Tahafut al-Falasifah. Ketiga-tiga karya besar ini meliputi bidang feqah dan falsafah. Huraian tentang kitab hasil karangan Imam al-Ghazali ini akan dibincangkan dalam Bab yang seterusnya dengan lebih mendalam.

Seterusnya, Fasal ini turut menyatakan individu-individu yang berperanan dalam mendidik keperibadian Imam al-Ghazali. Antaranya ialah Abu Hamid Ahmad bin Muhammad al-Razikani al-Tusi, Abu Ismail al Jurjani dan Imam al-Haramain. Ketiga-tiganya dalam bidang feqah. Manakala dalam bidang tasawuf pula adalah Imam al-Zahid Abu Ali al-Fadl bin Muhammad Ali al-Farmadi al-Tusi. Di akhir hayatnya, guru dalam bidang hadith ialah Abu Sahl al-Marwazi dan Muhammad bin Yahya al-Zuzani.

Fasal Ketiga : Keperibadian Yang Unggul

Sifat dan kekuatan yang dimiliki oleh Imam al-Ghazali telah melayakkannya mencapai kemuncak keilmuan di dalam dunia Islam, padahal umurnya belum menjangkau 34 tahun. Beliau betul-betul mengkaji setiap bidang ilmu yang dipelajarinya seperti kita dapat lihat dalam bidang Falsafah.

Allah SWT telah menganugerahkan kepada Imam al-Ghazali keinginan yang kuat, di mana dengan keinginan ini beliau berjaya menguasai dirinya dan merubah perjalanan hidupnya secara menyeluruh.

Kehidupan Imam al-Ghazali sebelum bertasawwuf mahupun selepasnya, penuh dengan kebanggaan kemampuan diri dan kedudukannya. Ini dapat diiikuti dengan mudah dalam hidup Imam al-Ghazali sebelum bertasawwuf lagi.

Keperibadian Imam al-Ghazali akan lebih jelas dilihat dalam kenyataan pada Bab-bab dan Fasal-fasal seterusnya.

Fasal Keempat : Keluarga Al-Ghazali

Secara umumnya, fasal ini mengkisahkan kehidupan Imam al-Ghazali bersama keluarganya sebelum beliau menjadi masyhur sebagai ulama’ seperti yang dikisahkan pada awal Bab ini. Banyak juga menceritakan perihal ayahandanya yang berkerja sebagai pemintal bulu. Tidak terdapat maklumat yang sahih berkenaan bilangan ahli keluarganya sebenar. Namun apa yang banyak diceritakan adalah berkenaan saudaranya bernama Ahmad. Ahmad dikatakan hidup lebih lama dari Imam al-Ghazali. Beliau meninggal 15 tahun selepas saudaranya al-Ghazali meninggal iaitu pada tahun 520 Hijrah.

Fasal Kelima : Ucapan-ucapan Al-Ghazali

Di bawah dipetik beberapa kata-kata hikmah daripada Hujjatul Islam Imam al-Ghazali :

1. Asas amalan-amalan ketaatan dan amalan-amalan anggota keseluruhannya ialah kebersihan jiwa dan kesucian pancaran nur ma’rifat.

2. Apabila anda melihat seorang, menaruh buruk sangka kepada Allah dan mencari keaiban-keaiban orang lain, ketahuilah itulah orang yang buruk batinnya. Orang mu’min yang sebenar adalah orang yang berlapang dada ketika berhadapan dengan hak seluruh makhluk.

3. Ilmu tanpa akal adalah gila, manakala akal tanpa ilmu tidak akan berlaku.

4. Ketahuilah riyak itu lahir dari sifat terlalu mengagungkan makhluk.


BAB 2 : MUNCULNYA AL-GHAZALI

Fasal Pertama : Sejarah Ringkas

Dalam Bab ini penulis membicarakan tentang peringkat sebelum Imam al-Ghazali terlibat dalam dunia tasawwuf dan suasana umum yang dialami oleh beliau. Juga diterangkan bagaimana Imam al-Ghazali berjaya melaksanakan dua tugas sekaligus iaitu meruntuhkan binaan falsafah dan membongkar penyelewengan ajaran Batiniyyah.

Pada zaman Imam al-Ghazali berlaku banyak kecelaruan dan penyelewengan yang menyerang pemikiran umat Islam. Akidah dan teori-teori Muktazilah sentiasa menyibukkan fikiran masyarakat dan menguasai mental mereka.

Selain Muktazilah, ahli Falsafah turut menyumbang kea rah kecelaruan akidah dan pemikiran Kaum Muslimin. Banyak buku tentang mantiq dan falsafah berbahasa Syria, Yunan dan Farsi yang kebanyakannya dikarang oleh Aristotle diterjemahkan ke dalam bahasa Arab. Buku ini mengandungi akidah keberhalaan yang bertentangan dengan tauhid. Falsafah bertentangan dengan nubuwwah dan semakin masyarakat tunduk kepada falsafah, semakin mereka menghina para nabi.

Serentak dengan kemunculan ilmu Falsafah, muncul juga golongan Batiniyah. Golongan ini adalah golongan yang bergelumang dengan syahwat dan percaya kepada keharusan melakukan segala sesuatu tanpa ikatan agama, di samping mengabdikan diri kepada nafsu.

Begitulah keadaan dunia Islam pada kurun ke-5 yang tunduk kepada pemikiran yang menyesatkan. Namun, Allah telah menganugerahkan kepada Kaum Muslimin peribadi agung yang ulung iaitu Imam al-Ghazali.

Fasal Kedua : Ulama’ Islam

Fasal ini membahaskan beberapa golongan ulama’ yang dikategorikan mengikut fahaman yang ada pada zaman tersebut. Imam al-Ghazali mengakui wujudnya golongan yang ikhlas dalam menegakkan agama dan beramal kerana Allah tetapi golongan sebegini adalah sedikit.

Fasal Ketiga : Peranan Al-Ghazali

Pengaruh yang dimiliki oleh Imam al-Ghazali pada waktu tersebut banyak membantu beliau untuk menyumbang dalam memperbaiki kerencatan pemikiran dan pengamalan Kaum Muslimin. Imam al-Ghazali mendapat tempat istimewa di sisi menteri Nizam al-Mulk.

Imam al-Ghazali membahagikan golongan yang mencari kebenaran kepada empat :

1. Al-Mutakallimun

2. Al-Batiniyyah

3. Al-Falasifah

4. Al-Safiyun

Fasal Keempat : Al-Ghazali Dan Ilmu Kalam

Pengalaman dan kebolehan dalam pelbagai disiplin ilmu membolehkan Imam al-Ghazali mengkaji dengan lebih mendalam tentang sesuatu kebenaran. Pernah beliau bertukar pendirian dan perkara ini dinyatakan dalam karangan-karangan yang disebutkan di dalam Fasal sebelum ini. Imam al-Ghazali menggugurkan ilmu kalam dari senarai ilmu pengetahuan yang perlu dituntut dan tidak menganggapnya sebagai ilmu. Ini merupakan pendirian baru Imam al-Ghazali.

Fasal Kelima : Al-Ghazali Dan Falsafah

Al-Ghazali bukanlah ahli falsafah. Namun, beliau juga boleh dikatakan ahli falsafah kerana beliau turut menguasai ilmu falsafah. Tujuan beliau mempelajari ilmu falsafah berbeza dengan masyarakat umum kerana tujuan beliau adalah untuk mempertahankan Islam kerana falsafah bertanggungjawab memerangi agama. Beliau tidak memerangi kesemua aspek yang terdapat dalam falsafah, hanya yang diserang ialah falsafah yang berasal daripada Greek. Dalam memerangi falsafah ini, Imam al-Ghazali telah mengatur strategi-strateginya tersendiri.

Fasal Keenam : Al-Ghazali Dan Al-Batiniyyah

Penyelewengan golongan ini sama bahayanya dengan golongan falsafah. Pada fasal sebelum ini telah dinyatakan peranan golongan Batiniyah dalam menghancurkan akidah umat Islam. Oleh itu, Imam al-Ghazali merasakan beliau patut melawan golongan ini daripada terus meruntuhkan akidah Kaum Muslimin seiring dengan usaha beliau melawan ahli falsafah.


BAB 3 : AL-GHAZALI DAN TASAWWUF

Fasal Pertama : Kenapa Perlu Bertasawwuf

Pemerhatian Imam al-Ghazali terhadap golongan-golongan ulama’ pada zaman beliau mendorongnya berfikir mencari jalan keluar dan penyelesaian (telah disebut dalam Fasal sebelumnya). Bermula dari sini Imam al-Ghazali telah melakukan penyelidikan tentang tasawwuf dan hasilnya beliau telah bermuhasabah diri.

Fasal Kedua : Tasawwuf Al-Ghazali

Tidak mustahil jika Imam al-Ghazali menempuh jalan tasawwuf dengan cara melakukan mujahadah terhadap diri sendiri tanpa bergantung kepada sebarang syeikh atau guru. Beliau mempunyai cita-cita dan keazaman yang kuat yang boleh melintasi segala rintangan. Telah dinyatakan sebelum ini yang Imam al-Ghazali berhijrah untuk beruzlah selama lebih kurang 10 tahun. Satu tempoh yang agak lama.

Fasal Ketiga : Kesalahan-Kesalahan Dan Penyelewengan Ahli-ahli Tasawwuf

Imam al-Ghazali mengenali ilmu tasawwuf adalah dengan mengkaji ilmu tersebut bukan melalui ahli-ahli tasawwuf. Jika beliau melihat tasawwuf melalui kegiatan yang dilakukan oleh ahli-ahli tasawwuf, nescaya beliau tidak akan menjadi ahli sufi kerana terdapat banyak penyelewengan yang dilakukan oleh mereka. Antaranya penyelewengan-penyelewengan yang disentuh oleh Imam al-Ghazali adalah Syatah dan Ittihad, Menggugurkan taklif syarak dan pelbagai lagi yang tidak dapat disebut lantaran keterbatasan ruang.

Fasal Keempat : Kesan Al-Ghazali Dalam Tasawwuf

Walaupun terdapat penyelewengan dalam beberapa disipilin ilmu oleh ahli-ahlinya, namun Imam al-Ghazali tetap melibatkan dirinya kerana beliau memperoleh ilmu tersebut daripada sumber yang murni. Dapat dilihat di sini bagaimana beliau memurnikan ilmu falsafah yang dikotori oleh falsafah Yunani, perkara ini juga beliau lakukan dalam ilmu Tasawwuf. Imam al-Ghazali membetulkan dan memurnikan kembali perjalanan tasawwuf.
Beliau meninggalkan kesan yang amat ketara dalam setiap disiplin ilmu yang diceburinya dan ini dijadikan sebagai rujukan oleh Kaum Muslimin selepasnya.

Orang yang mengetahui kedudukan tasawwuf sebelum al-Ghazali dan kedudukan tasawwuf selepasnya, akan mengetahui dengan jelas kelebihan tasawwuf al-Ghazali dan ahli-ahlinya serta kesan yang besar yang ditinggalkan oleh beliau dalam dunia tasawwuf.


BAB 4 : KITAB IHYA’ ULUMIDDIN

Fasal Pertama : Pengenalan Kitab Ihya’

Kitab Ihya’ merupakan kitab yang paling agung karangan Hujjatul Islam Imam al-Ghazali. Kitab ini telah dikarang oleh beliau dalam tempoh 10 tahun beruzlah dan membicarakan perkara (kandungan kitab) Ibadat, Adat, Perkara-perkara yang membinasakan dan Perkara-perkara yang menyelamatkan.

Tujuan Imam al-Ghazali menulis kitab ini ialah untuk menggalakkan umat Islam menyertakan ilmu dengan amalan kerana matlamat ilmu ialah amal dan membersihkan amalan dari kotoran-kotoran yang mengotorinya bagi memastikan ia benar-benar dilakukan dengan ikhlas.

Fasal Kedua : Kedudukan Ihya’

Kedudukan kitab Ihya’ Ulumuddin amat tinggi dalam kalangan pecinta ilmu dan kebenaran. Ianya menjadi rujukan oleh kebanyakan ulama’ dan orang ramai kerana meliputi pelbagai kandungan yang tidak memisahkan antara satu sama lain. Al-Ustaz Abu al-Hassan an-Nadwi berkata :

Seolah-olah al-Ghazali suka menjadikan kitab ini sebagai penunjuk dan panduan tanpa perlu lagi kepada kitab-kitab yang lain dan sekaligus sebagai mengambil tempat maktabah Islam.

Fasal Ketiga : Pendirian Ulama’ Terhadap Ihya’

Terdapat dua golongan yang memberikan komentar terhadap kitab Ihya’. Pertamanya golongan yang berpendapat kitab Ihya’ benar-benar berfungsi menghidupkan ilmu-ilmu agama. Keduanya golongan yang berselisih pendapat dalam menentukan sikap mereka terhadap Ihya’.

Fasal Keempat : Kritikan terhadap Ihya’

Antara kritikan yang dilontarkan kepada kitab Ihya’ adalah :

1. Hadith-hadith lemah dan rekaan yang terdapat di dalamnya

2. Memindahkan buah-buah fikiran orang lain tanpa menyandarkannya kepada tuannya yang asal

3. Menyebut tentang kesalahan-kesalahan dan syatahah-syatahah ahli-ahli sufi

Fasal Kelima : Pengkritik-pengkritik Al-Ghazali

Tiga perkara yang menjadi persoalan dalam kritikan terhadap Imam al-Ghazali adalah penglibatan beliau dalam bidang Falsafah, Mantiq dan Tasawwuf. Ketiga-tiga persoalan ini dijadikan asas sama ada berbentuk ilmiah atau sebaliknya oleh golongan-golongan tertentu dalam melontarkan kritikan terhadap Imam al-Ghazali.


BAB 5 : TOKOH ISLAH

Fasal Pertama : Islah Dalam Lapangan Pemikiran

Peranan Imam al-Ghazali dalam lapangan islah begitu besar sekali. Peranan ini tidak hanya terbatas kepada satu sudut kehidupan sahaja, malah merangkumi kebanyakan lapangan kehidupan, kalaupun tidak melibatkan keseluruhan lapangan kehidupan.

Di bawah Fasal ini, dibincangkan beberapa perkara yang berkaitan. Pertama adalah peranan akal yang patut Kaum Muslimin mainkan. Kedua adalah menolak taklid. Imam al-Ghazali mengatakan tidak wajar orang alim menjadi orang yang bertaklid. Ketiga adalah beliau menyeru Kaum Muslimin beriltizam dengan al-Kitab dan al-Sunnah. Seterusnya adalah Imam al-Ghazali menekankan peri penting untuk kita beriltizam dengan manhaj salaf.

Fasal Kedua : Ulama’ Alat Islah

Fasal Ketiga : Tajdid Fiqh

Fasal Keempat : Fiqh al-Awlawiyat

Fasal Kelima : Islah Masyarakat


*Ringkasan buku ini disiapkan sebagai tugasan Subjek Pengajian Islam (MPW 1143)
Tokoh besar Islam ini patut ditonjolkan dalam masyarakat dan kalangan pelajar khususnya agar kita dapat ambil semangat cintakan ilmu. Imam al-Ghazali berperanan besar dalam pembentukan Salahuddin al-Ayyubi.













2 ulasan: