Jumaat, 15 Julai 2011

Travelog Tarbawi Thailand 2010

BismIllahirRahmanirRahim

Pada 22 Disember 2010, rombongan Angkatan Belia Islam (ABIM) Kelantan, Persatuan Pembimbing Pelajar Islam Kelantan (PPIK) dan Briged Bakti Malaysia (Kelantan) telah mengadakan Kembara Amal Belia ke Negara Thailand. Tujuan utama kembara diadakan ialah untuk mengukuhkan 'ukhuwah' antara peserta rombongan dan mengeratkan silaturahim dengan saudara di Selatan Thailand meliputi tiga wilayah ; Takbai (Narathiwat), Pattani dan Yala. Selain itu, siri kembara kali ini juga bertujuan melatih kepimpinan dalam mengurus organisasi.


Rombongan diketuai oleh al-Fadhil Ustaz Mohd Faisal Abdullah (Yang DiPertua ABIM Kelantan), barisan Exco ABIM Kelantan ; Akh Abdul Hafeez Abdullah (Setiausaha), Ustaz Mohammad Amin Abdullah (Dakwah & Tarbiyah), Akh Mohd Syafiq Mohd Yaacob (Tugas-tugas Khas) & Akh Mohd Noor Alami Salleh (Pembangunan Sosial), Exco PPIK ; Akh Mohd Syahiran Mohamad (Timbalan YDP) & Akh Mohd Zul Amin Ghazali dan ahli Briged Bakti ;  Akh Mohamad Arif Azam Mat Yunus & Akh Mohd Fikree Rosli.




Kami bertolak dari Kota Bharu pada jam 3.30 petang dan tiba di Kompleks Imigresen Pengkalan Kubor pada jam 4.30 petang. Alhamdulillah, urusan peserta rombongan untuk menyeberang ke negara jiran tidak mengalami sebarang masalah bahkan dipermudahkan oleh Allah S.W.T. Usai mendapat pengesahan keluar sempadan, kami menaiki bot tambang yang mengambil masa lebih kurang lima minit sahaja menyeberang Sungai Golok untuk tiba di pengkalan Tabal (Takbai), Thailand. Setelah urusan masuk ke Thailand selesai, kami menaiki van yang disewa menuju ke Pattani.






Destinasi pertama kami adalah Teluban (Saiburi) yang terletak di Wilayah Pattani. Rata-rata kami yang pertama kali sampai ke Thailand ‘tergamam’ apabila melalui sekatan jalan raya oleh pihak keselamatan sepanjang perjalanan dari Takbai ke Pattani. Kami dimaklumkan sekatan hanya dilakukan di tiga wilayah bergolak Selatan Thailand ; Takbai (Narathiwat), Pattani dan Yala. Kononnya pihak berkuasa tempatan ingin menjaga keamanan di ketiga-tiga wilayah ini yang majoriti penduduk beragama Islam. Jarang sekali kelihatan orang Siam.




Tanah Patani Darussalam yang indah dan subur ; tidak mustahil kenapa penjajah Siam (Thailand) 'tak mahu melepaskannya hingga sekarang'


Dalam perjalanan, kami singgah solat Asar berjemaah di Masjid Wadi al-Husain, Pattani. Masjid ini merupakan salah sebuah masjid tertua di Selatan Thailand. Ianya berusia 300 tahun. Masjid Wadi al-Husain diberi nama sempena pengasas Wan Husain. Apa yang menarik tentang masjid ini ialah seni bina yang menggabungkan pengaruh budaya Jawa, Arab dan tempatan. Masjid ini dibina tanpa menggunakan sebatang paku pun sebaliknya diganti dengan tanggam kayu. Hampir sama dengan teknologi seni bina Masjid Kampung Laut di Kelantan.







 Penulis bergambar di hadapan tangga Masjid Wadi al-Husain




 Tangga menuju ke tempat azan


Perjalanan diteruskan dan kami selamat tiba di destinasi yang dituju pada lewat petang. Kami disambut dengan mesra oleh tuan rumah, mesra dengan panggilan Bang Lan. Betapa manisnya ikatan ukhuwah antara saudara seaqidah walaupun tidak pernah bersua. Kami dilayan ibarat tetamu kehormat yang bertandang ke istana raja. Jazakumullah khoiran jaza’. Sebelah malam, kami hanya berehat setelah seharian kepenatan.


"Selamat Datang ke Taluban"



Pada hari kedua kembara, bermulalah misi kami. Usai solat Subuh berjemaah, kami menziarahi sekitar pekan Taluban, pantai dan pasar segar. Nama Teluban lebih mesra bagi masyarakat Muslim Pattani berbanding Saiburi. Boleh anda bayangkan situasi penduduk di pasar Taluban yang sudah lali dengan pihak berkuasa tempatan ; polis dan tentera berkawal di segenap penjuru pekan. Namun, ianya lain bagi kami yang baru saja menjejakkan kaki ke daerah bergolak ini. Terkejut pabila lihat beberapa buah kereta perisai tentera berkonvoi dalam keriuhan penduduk sedang berurus niaga di pasar pagi. Satu perspektif berbeza yang harus difahami dan diselami oleh setiap orang yang punya visi dan misi dalam menyampaikan dakwah Islamiah.



 Keriuhan Pasar Teluban





Misi diteruskan dengan ziarah mahabbah ke Sekolah Tinggi Islam Darunsat Witya, Saiburi. Kami didedahkan dengan sistem pembelajaran dan kondisi pelajar sekolah swasta yang mendapat bantuan penuh daripada pihak Kerajaan Thailand. Dari segi fizikal, kemudahan di sekolah ini tidak seberapa jika dibandingkan dengan sekolah swasta di Negara kita. Walaupun mempunyai pelajar sekitar 4,200 orang ; satu jumlah yang besar, namun sistem pendidikan yang diguna pakai di Darunsat berjaya mengubah budaya percampuran Siam dan Melayu. Budaya yang mengubah identiti bangsa sebelum ini susah untuk dikenalpasti kerana cara pemakaian mahupun pertuturan. Barangkali, sistem pembelajaran di sini boleh dijadikan panduan dalam penambahbaikan sekolah-sekolah di Negara kita.



 Maktabah

 Konti radio 'Suara Darunsat'


Usai menziarahi Sekolah Tinggi Islam Darunsat Witya, kami bergerak ke Pattani dalam rangka ziarah ke Koperasi Muslim Ibnu Affan. Ibnu Affan adalah antara koperasi terbesar dan berpengaruh dalam masyarakat Islam dan bukan Islam di Selatan Thailand. Walaupun baru berusia 18 tahun, Koperasi Ibnu Affan sudah berjaya melebarkan sayapnya dengan pembukaan 8 cawangan di sekitar Pattani, Yala dan Narathiwat. Kami disambut dengan mesra oleh kakitangan Koperasi. Rata-rata staf yang berkhidmat di sana utuh dengan 'fikrah Islamiah'. Hal ini jelas melalui layanan mereka kepada rombongan kami walaupun tidak pernah bertemu dan berurusan sebelum ini. Kami sangat kagum dengan usaha mereka ke arah mengembangkan jihad perniagaan dan urus niaga. Panel syariah ditubuhkan untuk meneliti agar  tiada unsur ‘gharar’  dan riba dalam urusan Koperasi Muslim Ibnu Affan.




Selain Koperasi Muslim Ibnu Affan, Prince Songkla University antara destinasi yang sempat kami lawat di Pattani. Kebetulan pada hari kami di sana, diadakan Konferens Islam Antarabangsa yang dihadiri oleh tokoh-tokoh agama dari pelbagai Negara. Destinasi kami selepas Pattani adalah Yala. Kami berpeluang melawat Markaz Tabligh tersohor di Selatan Thailand. Agak besar dan mempunyai kemudahan untuk orang ramai. Namun, kami tidak berpeluang untuk singgah atas beberapa faktor. Seterusnya kami menuju ke Bandar Yala.





Peserta kembara kagum dengan ‘biah solehah’  di Yala. Agak susah untuk terserampak dengan perempuan dan lelaki yang mendedahkan aurat. Kami memanggil ‘Kedai Lama Yala’ sebagai Bandaraya Islam. Dalam pemerhatian saya ; tidak cenderung pada mana-mana pihak, menyimpulkan Bandar Yala lebih Islamik berbanding dengan Kelantan. Di kesempatan yang kami ada, sempat juga kami memerhati apakah faktor yang menyumbang kepada pembangunan sosial di sini. Kami ketemu jawapan apabila melawat Maahad al-Bi’that ad-Diniah (Sekolah Hj Harun). Jumlah pelajar di sekolah ini lebih kurang jumlah pelajar di Sekolah Tinggi Islam Darunsat Witya, Saiburi. Sistem pendidikan sekolah sekitar Yala telah berjaya menyumbang kepada pembangunan masyarakat yang stabil dunia & akhirat, pada hemah kami.


Lain pula situasi dan masyarakat di ‘Kedai Baru Yala’. Jalan kereta api menjadi sempadan antara ‘Kedai Lama’ dan ‘Kedai Baru’. Jika di Kedai Lama ‘sejuk mata'  melihat masyarakatnya tapi berlainan di Kedai Baru. Hal ini kerana ramai penghuni di sini berketurunan Siam dan beragama Budha. Seterusnya kami bertolak menuju Hat Yai. Jarak perjalanan Yala dan Hat Yai sekitar 160 kilometer. Kami tiba di Hat Yai pada jam 10.oo malam. Alhamdulillah, dengan izin Allah S.W.T. kami dapat menginap di bilik penginapan di tengah-tengah Bandar Hat Yai. Dek kerana mata masih ‘segar’, pemandu membawa kami meronda sekitar Bandar Hat Yai. Memang ‘syurga dunia’. “Hat Yai tak boleh lawan Mesir", komen Ustaz Faisal ketika kami minum malam di warung. Inilah realiti yang harus kita semua bersedia dengan bekal yang cukup. Jika tidak, silap haribulan kita juga akan terbabas. Na’uzubillah.






 Selepas solat Subuh berjemaah di bilik penginapan, kami sempat ‘berusrah’  walaupun ruang agak terhad. ‘Maudu’  perbincangan pada pagi tersebut adalah pemerhatian dan pendapat masing-masing yang dikutip sepanjang ‘pengembaraan’. Alhamdulillah, banyak mutiara hikmah diperoleh. Tentatif berikutnya adalah melawat Bandar Hat Yai. Berbeza di waktu malam yang masyarakat sibuk dengan aktiviti sosial, waktu pagi pula mereka sibuk dengan aktiviti jual beli. Sempat juga kami membeli buah tangan. Pagi ini, Bandar Hat Yai menjadi saksi berlaku peristiwa-insiden beg yang tak akan dilupakan oleh kami.




 Tika tengahari kami berangkat ke destinasi terakhir Kembara Amal Belia 2010, Takbai. Kami sempat singgah solat di Masjid Krisik. Masjid yang menjadi saksi pertempuran antara penduduk kampung dan pihak berkuasa Thailand. Dikhabarkan helikopter dihantar dan mendarat di jalan raya ketika berlaku tragedi. Al-Fatihah buat mangsa korban. Kami tiba di Asrama Anak Yatim Takbai (AYATA) pada jam 4.30 petang dan disambut mesra oleh Ustaz Nawawi.


Di sini, kami meluang masa bersama adik-adik AYATA dalam mengisi Program Motivasi Kecemerlangan Pelajar AYATA. Pada sebelah petang, kami sempat beramah mesra bersama individu-individu terlibat. Sebelah malam pula, al-Fadhil Ustaz Faisal, Ustaz Mohamad Amin, Akh Syahiran dan saya berpeluang bertemu dengan pemuda ‘high risk’ Takbai. Ustaz Nawawi selaku ‘person in-charge’   memperkenalkan kami kepada mereka. Ustaz Nawawi bertindak sebagai wakil AYATA dalam menjaga kebajikan pemuda-pemuda Takbai. Satu pengalaman yang berharga. Usaha dan inisiatif oleh penduduk Islam Takbai dalam membantu pemuda keluar daripada masalah, satu program dijalankan. Program pemprosesan air minuman bersih yang mendapat bantuan daripada pihak kerajaan. Di kesempatan ini,  al-Fadhil Ustaz Faisal sempat menasihati pemuda-pemuda Takbai yang masih berpeluang mengubah haluan hidup ke arah lebih baik.



Dinihari, kami melaksanakan 'qiyamullail’  bersama penghuni AYATA yang dipimpin oleh Ustaz Mohamad Amin. Jumlah pelajar terlibat dengan Program Motivasi Kecemerlangan Pelajar AYATA seramai 27 orang ; 20 anak yatim & 7 fakir miskin. Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Pepatah yang menggambarkan keperitan hidup penghuni AYATA. Sekali lihat raut wajah ceria adik-adik ini, kita tidak akan sangka bermacam-macam pengalaman yang dialami jika tidak mendengar cerita mereka. Ada yang melihat bapa sendiri ditembak di depan mata dan bermacam-macam lagi. Kesempatan ini membuatkan kami bersyukur dengan keamanan di Negara kita. Mudah-mudahan mereka tabah dan sabar dalam menempuh ujian mendatang. Kami doakan kalian berjaya mengubah nasib masing-masing dan mampu menyumbang kepada 'ummah'.



Setiap peserta Kembara Amal Belia berpeluang mendekati dan menyumbang kepada adik-adik AYATA melalui slot pengisian. Program Motivasi Kecemerlangan Pelajar AYATA berakhir pada jam 3.00 petang dengan majlis penutup. Terima kasih diucapkan kepada Ustaz Nawawi dan pihak yang terlibat dalam membantu kami.


Misi empat hari tiga malam berakhir dengan keberangkatan pulang kami dari Pengkalan Kubor ke Kota Bharu. Syukur dipanjatkan kepada Allah S.W.T. kerana menganugerahkan pengembaraan ini sebagai ‘tarbiyah’  buat kami.

1 ulasan: