Khamis, 18 November 2010

Mahabbah - Kasih Sayang



Album : Mahabbah 
Munsyid : Rabbani 
http://liriknasyid.com 


Cinta menuju jalan Illahi 
Cinta haqiqi yang amat suci 
Tenang terasa...rindu padaNya 
 Bila mendapat siraman hidayah 


Lisan bertasbih...berzikir dengan ma'arifah 
Taubat menyusul memohon maaf padaNya 
Menyesali...menyesal...menyesal atas dosa-dosa 


Jiwa insani hidup bernadi 
Tulus sejernih embun syurgawi 
Saat melakar cinta sejati Allah disembah sering diingati 


Rela diuji asalkan kasih bersemi 
Biarlah derita pengubat kasih sayangNya 
Itulah...Tajalli...cintakan Allah 
Mahabbah...Mahabbah...Mahabbatullah 


Kesunyian jiwa...kegersangan iman... 
Kehilangan bahagia...sesat di persimpangan 
Pengajaran bayangan seksa dunia 


Kembali...kembali...kembalilah... pada Allah 
Carilah...carilah...carilah... CintaNya 


Rela diuji asalkan kasih bersemi 
Biarlah derita pengubat kasih sayangNya 
Itulah...Tajalli...cintakan Allah 
Kembali...kembali...kembalilah...pada Allah 
Mahabbah...Mahabbah...Mahabbatullah

Khamis, 11 November 2010

Barack Obama dan Dunia Islam

Tatkala keputusan Pilihanraya Presiden Amerika Syarikat (AS) diumumkan baru-baru ini yang menggandingkan calon John MacCain dari Parti Republikan dengan Barack Obama dari Parti Demokrat, semua orang terpesona dengan keputusan tersebut. Mana tidaknya, buat pertama kali dalam sejarah Pilihanraya Presiden AS kerusi Presiden dimenangi oleh warga AS berketurunan kulit hitam. 


Selama ini, rakyat AS masih memainkan isu perkauman khususnya dalam melantik pemimpin mereka walaupun dasar Aperteid telah lama dihapuskan. Namun, setelah keputusan pilihanraya ini diumumkan, isu ini tidak ditimbulkan lagi kerana bagi warga AS sendiri terdapat beberapa isu yang lebih utama perlu dibangkitkan dan diperjuangkan apabila melihat banyak kelemahan sepanjang tujuh tahun negara Amerika diteraju oleh George W.Bush. 



Antara isu yang disuarakan adalah keganasan, ekonomi global, kemiskinan, perang Iraq dan hak asasi manusia. Dengan pengumuman keputusan pilihanraya ini, jelas menunjukkan rakyat AS menginginkan perubahan yang akan dibawa oleh calon presiden. Dari awal kempen pilihanraya hingga tarikh kemuncak, sokongan lebih memihak kepada Obama kerana calon muda ini merupakan senator Illinois dan calon daripada Parti Demokrat dilihat sebagai berkarisma serta mampu untuk membawa perubahan kepada Amerika dan dunia umumnya. 



Barack Obama mendahului pesaingnya daripada Parti Republikan yang merupakan rakan perjuangan George W.Bush dalam meraih undi penduduk Negara yang kononnya sebagai ‘polis dunia’ ini. Penduduk beberapa Negara lain juga menyokong Barack Obama sebagai Presiden baru AS. Jika dilihat di Indonesia , Negara tempat Obama pernah menetap dan bersekolah, penduduknya begitu ‘ghairah’ menyokong Obama dengan manggantung sepanduk yang tertera wajah calon presiden AS, Obama beserta kata-kata semangat di segenap kawasan. Ramai yang menyokong Obama disebabkan beliau lantang di dalam pidatonya yang ingin membawa perubahan dalam demokrasi AS dan polisi luar AS. Persoalannya, adakah Barack Hussein Obama mampu untuk membawa perubahan ini atau beliau akan menerima nasib yang sama seperti F.Kennedy? 



Bagi kaum Muslimin, persoalan ini amat penting dalam menentukan masa depan Negara Islam khususnya Timur Tengah dan tidak terlepas Malaysia kerana AS adalah Negara kuasa besar yang sentiasa mencari kepentingan di Negara Islam ini. Cabang bagi merungkai persoalan ini adalah perlu secara jelas dengan mengkaji dan menyelidik latar belakang Barack Hussein Obama. Adakah beliau Islam? Mengenai identiti agama Obama, banyak teka-teki yang timbul dalam menentukan sama ada beliau Muslim atau Kristian atau ateis. 



Secara ringkasnya dapat diceritakan di sini berkenaan latar belakang Obama. Barack Hussein Obama nama penuhnya lahir di Hawaii, bapanya Barack Hussein Obama Sr. lelaki kulit hitam berasal dari Kenya dan ibunya Shirley Ann Dunham wanita kulit putih berasal dari Kansas, AS. Di sini dimaklumkan bahawa ayah beliau beragama Islam namun tidak mangamalkan ajaran Islam kerana agama yang dianutinya adalah agama keturunan keluarganya. Manakala ibunya pula merupakan ateis yang tidak pernah menganut mana-mana agama. Ketika Obama berumur dua tahun, ibu bapanya berpisah dan Obama dengan ibunya berpindah ke Indonesia. Sebelum berpindah ke Indonesia, ibunya telah berkahwin dengan Lolo Soetoro, seorang Muslim Indonesia. 



Di Indonesialah, Obama mula bergaul dengan orang Islam dan kebetulan ayah tirinya merupakan Muslim. Namun, timbul kecelaruan di sini dimana ayah tirinya merupakan individu Muslim tetapi ibunya tetap berpegang dengan fahaman yang tidak beragama. Adakah ayah tirinya merupakan Muslim yang mengamalkan Islam Liberal? Ayah tirinya meninggal dunia dalam kemalangan dan Obama membesar di Hawaii bersama ibu dan datuknya. Setelah Obama menamatkan pendidikan di Harvard Law School dan Columbia University, beliau berkhidmat di Chicago dan mula berkecimpung dalam bidang politik. 



Jika dilihat secara kasar, Obama membesar dalam lingkungan masyarakat Islam dan tidak mustahil jika beliau merupakan Muslim. Pesaing Obama mengambil kesempatan atas pengalaman hidup beliau menyatakan Obama seorang Muslim, tambahan pula nama tengah beliau ‘Hussein’ sinonim dengam agama Islam dan mirip dengan nama bekas ‘diktator’ Iraq Saddam Hussein. Hal ini sedikit sebanyak memberi impak kepada semua kerana agama Islam telah dicop sebagai agama yang menganjurkan keganasan ekoran tragedi 16 September 2001. Walaubagaimanapun, Obama dengan tegas menafikan beliau seorang Muslim dan menyatakan beliau beragama Kristian. Memang benar bapa kandung dan bapa tirinya menganut agama Islam tetapi tidak bermakna beliau seorang Muslim, tambahan pula beliau tidak pernah mengamalkan ajaran Islam sepanjang hidupnya. Ibunya banyak mengajar nilai-nilai kemanusiaan dan tidak pernah mengajarkan ajaran mana-mana agama. Kata Barack Hussein Obama setiap kali beliau diajukan persoalan berkenaan status agamanya. 



Dalam polisi luar AS yang ingin diperjuangkan oleh Obama, banyak hal yang berkaitan dengan dunia Islam seperti isu pengunduran askar-askar AS dari Negara Iraq. Bagi Obama, tindakan yang dilakukan Bush selama ini banyak membazir tenaga dan duit. Perang bukan merupakan jalan terbaik bagi menyelesaikan masalah menurut pandangan tokoh politik ini. Beliau sedia untuk berbincang dengan pemimpin-pemimpin Negara Teluk bagi menyelesaikan kemelut ini. Jika benar Obama ingin membawa perubahan dalam polisi luar AS, adakah orang di bawahnya berfikiran sedemikian? Jika beliau tidak mampu untuk melaksanakan dasar yang dinyatakan, beliau ibarat mengundang musuh masuk ke dalam rumah. Begitu juga dengan isu sokongan AS terhadap Israel dalam merampas hak penduduk Palestin dan tanah suci umat Islam. 



Di sini, timbul juga kekeliruan sama ada Obama anti-Israel ataupun pro-Israel. Memang dalam dasar ini dilihat Obama anti-Israel tetapi dalam isu lain beliau dilihat lebih memihak kepada Israel, tambahan pula kaum Yahudi merupakan pelobi bagi parti yang diwakili Obama Parti Demokrat. Namun, banyak hujah menyatakan Obama adalah anti-Israel. Antaranya, beliau merupakan anggota jemaah United Church of Christ dan mempunyai mentor yang mengencam hebat agenda kaum Yahudi. Keduanya, kalangan penasihat hubungan luar Negara beliau majoriti anti-Israel. Hal ini dilihat memberikan kelebihan secara tidak langsung kepada orang Islam sekiranya Obama mampu melaksanakan dasar-dasar luar tersebut. 



Jadi, perlukah kita kaum Muslimin meyakini Barack Hussein Obama mampu untuk membawa perubahan kepada dunia Islam? Adakah dasar yang dibawa di dalam kempen Pilihanraya Presiden AS merupakan kesungguhan beliau untuk membawa perubahan kepada AS atau hanya retorik politik semata-mata bagi meraih simpati? Kita hanya mampu melihat semua ini berhasil ataupun tidak apabila tampuk pemerintahan Presiden AS mula beralih kuasa daripada George W.Bush kepada Barack Hussein Obama pada awal Januari 2009 ini. 

~Ibnu Ghazali~
3 Januari 2009 
Pusat Asasi UiAM, Petaling Jaya 



p/s : Video di bawah adalah rakaman pidato Obama di Universiti Indonesia sempena lawatannya ke negara itu baru-baru ini (November 2010).


Rabu, 10 November 2010

[TRAILER] : Al Ghazali - The Alchemist of Happiness



Anda boleh dapatkan terjemahan “The Alchemist of Happiness” OLEH  Imam  Al-Ghazali (PDF) di SINI

Selasa, 9 November 2010

Ilmu

Dan tidak sepatutnya orang-orang mukmin itu semuanya pergi (ke medan perang). Mengapa sebahagian dari setiap golongan di antara mereka tidak pergi untuk memperdalam pengetahuan agama mereka dan untuk memberi peringatan kepada kaumnya apabila mereka telah kembali agar mereka dapat menjaga dirinya. 

                                                 Surah At-Taubah : Ayat 122 

                                                                                                  
Bismillahir Rahmanir Rahim 

Betapa indah isi kandungan al-Quran. 

Betapa indah jika dapat kita amalkan isi kandungan al-Quran dalam kehidupan harian. 

Betapa indah pabila orang-orang mukmin memahami maksud ayat di atas. 

Betapa indah sekiranya kita semua memainkan peranan masing-masing selaku ‘hamba’ & ‘khalifah’. 


Kepentingan ilmu tidak dapat dinafikan dalam semua perkara. Jika berkehendakkan dunia ILMU diperlukan, jika berkehendakkan akhirat ILMU diperlukan & jika berkehendakkan dunia dan akhirat ILMU juga diperlukan. 


Di sini saya bukanlah berniat menulis tentang ilmu dari sudut pandang falsafah, hanya sekadar penceritaan yang dirasakan lebih mudah difahami dan dekat dengan kita. 


Sebagai ‘hamba’ & ‘khalifah’ yang serba dhoif, janganlah kita menyombongkan diri untuk menggelarkan diri seorang ‘toolibul ilm’ (penuntut/pencari ilmu). Sesungguhnya Rasulullah Sollallahu ‘alaihi wa sallam telah berpesan 

“..jadilah kita sebahagian daripada golongan ini ; orang yang menyampaikan ATAU orang yang menuntut (muta’allim) ATAU orang yang mendengar (mustami’an) ATAU orang yang menyayangi tiga golongan tadi (muhibbun), tapi janganlah menjadi sebahagian golongan ‘khomisun’ (kelima) iaitu golongan yang memerangi/memusuhi keempat-empat golongan tadi…” 


Mencari Ilmu kefardhuan bagi setiap Muslim


Wahai pembaca yang kusayangi kerana Allah SWT sekalian, sebenarnya orang yang menuntut ilmu ini memikul satu tanggungjawab yang besar. Tidak kira penuntut universiti, kolej,  sekolah, madrasah, masjid atau surau mereka semua ada tanggungjawab. 

Tanggungjawab apa? 


Tanggungjawab untuk menyampaikan ilmu yang dipelajari mengikut kefahamannya. Mudah-mudahan perkara yang disampaikan kepada orang yang tidak berkesempaatan hadir dalam majlis ilmu (yang dihadiri oleh penyampai) sampai (difahami / dapat panduan) ke semua lapisan masyarakat sama ada keluarga, rakan atau jiran. 


Tapi janganlah atas alasan tidak mahu memikul tanggungjawab tadi, kita menjauhkan diri daripada sebarang majlis ilmu. Jika kalian berfikir sedemikian, saya ingin bawakan satu cerita untuk tatapan. Moga kalian dapat ambil ‘moral of story’ daripada cerita di bawah : 


Latar Masa – Suatu petang selepas solat Asar 

Latar Tempat – Di sebuah kedai kopi di Kampung Beluncas (rekaan semata-mata) 

Dalam kedai kopi itu, ramailah orang datang untuk lepak sambil minum dan hisap rokok. 

Di satu sudut di sebuah meja ; Ada tiga orang sedang berbual-bual sambil minum teh ‘o’. 

Dua orang merupakan individu bergelar ustaz dan seorang lagi hanyalah ‘orang kampung’ yang terkenal dengan sifat pada dirinya ‘serba tahu’. 

Ustaz-ustaz tadi berbicara tentang soal agama ; 
soal tasawauf – tariqat. Pada mulanya ‘orang kampung’ tadi tak menyampuk tapi bila nampak ‘naik syeh’, menyampuklah si dia : 

“Di kampung saya pun ada jugak puak ma’rifat..bla..bla…"

Ustaz Sabri (rekaan semata-mata) hanya diam seribu bahasa. Dia diam bukan kerana tidak tahu isi tapi diam tahan nak ketawa…hahahahaha 


Begitulah tadi kejadian yang menimpa ‘seorang alim’. Sebenarnya dia bukanlah alim tapi berlagak alim atau tahu semua benda sedangkan dia tidak ‘mengaji’. Mudah-mudahan kita dijauhkan daripada memiliki sifat mazmumah ini. 





Ya Allah Engkau mengetahui bahawa hati-hati ini telah berkumpul kerana mengasihi-Mu, bertemu untuk mematuhi (perintah) Mu, bersatu memikul beban dakwah-Mu, hati-hati ini telah mengikat janji setia untuk mendaulat dan menyokong syariat-Mu, maka eratkanlah Ya Allah akan ikatannya. Kekalkan kemesraan antara hati-hati ini akan jalan-Nya (yang sebenar). Penuhkanlah hati ini dengan cahaya Rabbani-Mu yang tidak kunjung malap. Lapangkan hati-hati ini dengan limpahan iman/keyakinan dan keindahan tawakkal kepada-Mu. Hidup suburkan hati-hati ini dengan ma’rifat (pengetahuan sebenar) tentang-Mu. (jika Engkau mentaqdirkan mati) maka matikanlah pemilik hati-hati ini sebagai para syuhada’ dalam perjuangan agama-Mu. Engkaulah sebaik-baik sandaran dan sebaik-baik penolong. Amin. 

p/s : Jangan lupa TEKAN "LIKE" (kat atas tajuk artikel). 
Mudah-mudahan bermanfaat untuk semua. Syukran

~~ ibnu Ghazali ~~
Tok Burung, Jam 0017 

 

Rabu, 3 November 2010

Mode ‘Exam’

Oleh : Ibnu Ghazali

Bismillahir Rahmanir Rahim

Di saat ini, rakan-rakan di pusat pengajian tinggi sedang ‘berperang’ menghadapi ‘final exam’. Saya doakan kalian bisa ‘bertempur’ dengan baik. Juga didoakan kalian mendapat kejayaan dunia dan akhirat. Dalam keghairahan ‘mengasah pedang’ (ulangkaji) di saat-saat akhir ini, janganlah kita lupa akan Allah SWT. Semua yang kita usahakan hanyalah asbab musabab ke arah kejayaan yang telah ditentukan oleh Allah SWT. InsyaAllah.


Di samping usaha, jangan kita memutuskan doa kepada Allah SWT. Sesungguhnya Allah SWT suka kepada hambaNYA yang tidak putus-putus berdoa. Mudah-mudahan usaha kita dibalas dengan ‘kejayaan sementara’ yakni keputusan cemerlang berupa 4.0/3.5^ (GPA/CGPA).
‘Practice makes perfect’. 
Ini adalah pengalaman peribadi saya.


Namun, apa yang ingin saya ingatkan adalah : Janganlah kita termasuk bersama golongan yang menuntut ilmu semata-mata untuk mendapat keputusan yang cemerlang. ‘Examination oriented’. Barangkali kita suka dan gembira apabila mendapat habuan yakni ‘pointer’ yang tinggi. Ya, memang itulah selayaknya jika usaha dan doa telah kita ikhtiarkan.


Tapi, jangan kita terperangkap dengan tipu daya di sekeliling. Kebahagiaan yang dikecapi hanya untuk sementara waktu sahaja. Kawan-kawan akan ‘respect’ dan memandang tinggi kepada kita hanya ketika itu sahaja. Apa alasan mereka memuji kita? Jawabnya kerana ‘pointer’ kita tinggi. Tahniah!


Wahai rakan-rakan yang kusayangi sekalian, ingatlah kita akan firman Allah SWT dalam Surah As-Saff maksudnya :


“Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu kerjakan?”


Jika dalam tempoh ulangkaji anda selalu tolong rakan-rakan dalam perkara berkait pelajaran, anda telah termasuk ke dalam golongan yang ‘mengatakan’.


Saya ingin bawa kalian untuk melihat perkara ini jika kita menuntut ilmu hanya untuk ‘exam’. Sekarang ini kalian sentiasa ‘berjaya’ dengan ‘pointer’ yang sentiasa tinggi. Tahniah! Cuba kita fikirkan adakah ‘pointer’ yang tinggi tadi selari dengan ilmu yang kita dapat? Jika ‘pointer’ Si A 4.0 setiap semester, manakala Si B pula hanya dapat skor 3.0 setiap semester bermakna ilmu Si A LEBIH daripada Si B. Si B tadi bodoh berbanding Si A. Adakah ini justifikasi kita untuk menilai seseorang itu berilmu ataupun tidak? Barangkali ya, tapi hanya untuk sebahagian kes terpencil.


Saya bukanlah anti-pelajar ‘anugerah dekan’. Secara peribadinya saya juga mampu untuk menandingi. Ha za min fadhli Rabbi.


Saya lebih suka memberi gambaran kepada rakan-rakan daripada aliran teknikal kerana saya adalah mahasiswa yang menuntut di universiti teknikal. Sekarang ini kita mampu untuk skor ‘pointer’. Tapi AWAS, ‘pointer’ kalian itu ibarat barah. Jika tidak dipantau akan merana badan. Saya lihat rata-rata pelajar yang sudah berada di ‘zon selesa’ akan mengabaikan peri penting ilmu itu sendiri. Hakikat sepatutnya berlaku bagi Si A (yang pointernya 4.0) tadi adalah dia lebih MANUSIA daripada Si B kerana Si B hanyalah berkelayakan 3.0.


Saya berani jamin tidak semua pelajar yang ‘grad’ mampu untuk memenuhi pasaran kerja (khususnya aliran teknikal). InsyaAllah jika tiada masyaqah saya akan tulis tajuk khusus berkenaan ‘matlamat menuntut ilmu untuk kerja’ (untuk panduan & iktibar diri sendiri). Mana tidaknya, jika dalam ‘final exam’ andalah ‘kaki tiru’. ‘Assignment’ jangan cakap lah. Bila sudah ‘grad’ nanti anda tidak akan mampu buat kerja. Sebab bagi pelajar teknikal, ilmu untuk buat kerja itu hanya diperoleh sewaktu sesi ‘latihan’ dalam kelas, bengkel dan kuliah.


Memang benar kebahagiaan ini hanyalah sementara. ‘Darjat’ kita diangkat oleh ‘manusia’ hanya sementara. Bezanya cukup ketara dengan orang berilmu. ‘Darjat’ orang berilmu akan diangkat oleh Allah SWT. Orang berilmu adalah orang yang benar-benar MANUSIA. Selamat menjawab peperiksaan akhir semester.



p/s : Boleh baca entri sebelum ini (Mahasiswa & Integriti) berkaitan teladan dalam kita menuntut ilmu.


Hubungan Intelektual Terawal Dunia Melayu-Cina

Hubungan Intelektual Terawal Dunia Melayu-Cina

Oleh Dr. Mohammad Alinor bin Abdul Kadir

Penyelidik Bersekutu, Institut Penyelidikan Matematik,

Universiti Putra Malaysia, 43400 Serdang, Selangor, D.E.


Abstrak

Walaupun hubungan dunia Melayu-Cina sebenarnya telah menjangkau hampir 2000 tahun, kalau berdasarkan rekod-rekod bertulis kurun ke-2M di Cina tentang Funan dan Campa, namun kajian bagi merungkai maksud sebenar hubungan ini masihlah belum memuaskan kehendak golongan intelektual. Malah, amatlah tidak langsung memuaskan hati jika sorotan kajian disasarkan kepada kemajuan hal-hal berkaitan keintelektualan seperti perpustakaan, kepustakaan pengetahuan, institusi pendidikan, institusi penyelidikan, biografi dan bibliografi intelektual, sistem pengajian rendah dan tinggi, dan lain-lain hal yang berkaitan. Keadaan yang berterusan sebegini sebenarnya tidak langsung akan memberikan apa-apa manfaat kepada kedua-dua belah pihak, malah akan menenggelamkan kekuatan keintelektualan masing-masing, lebih-lebih lagi di zaman globalisasi dan liberalisasi dunia sekarang yang dikuasai dengan kuat oleh keintelektualan Barat. Telaah demi telaah yang kami lakukan terhadap susastera yang membahas hubungan intelektual Melayu-Cina ini selalunya hanyalah menyentuh tema intelektual ini secara cebis-cebisan, tidak mendalam, sehinggakan tidak boleh dilakukan kajian pengembangan daripadanya. Maklumat-maklumat yang disebut selalunya terhenti kepada mengatakan adanya itu-ini dalam hubungan intelektual ini. Contohnya, adanya maklumat yang mengatakan bahawa seorang cendekia Campa bernama Fo-che/Vijaya dihantar sebagai penerjemah ke Cina pada kurun ke-8M. Itu sahaja. Tidak ditanyakan dan dijawab apakah buku-buku yang diterjemahkan oleh Fo-Che ini? Fo-Che ini bertugas di institusi intelektual mana di Campa dan dihantar ke institusi intelektual mana di Cina? Apakah buku-buku yang dikarang oleh Fo-Che di Campa dan di Cina? Dan lain-lain soalan yang berkaitan. Keadaan ini mungkin terutamanya disebabkan oleh tiadanya penyelidik yang berminat membahas hubungan intelektual Melayu-Cina ini, berbanding kedapatannya beberapa penyelidik yang membahas hubungan intelektual India-Cina. Kami akan berusaha di sini untuk mengendurkan permasalahan ini dan seterusnya meletakkan landasan kepada kajian hubungan intelektual Melayu-Cina, iaitu sekitar hubungan yang berlangsung sekitar kurun ke-2M hingga ke-8M. Diakhirnya, kami akan berusaha sedapat mungkin mencoret maklumat berkenaan perbahasan-perbahasan intelektual yang mungkin wujud dalam perhubungan ini.