Khamis, 31 Disember 2009

Gerhana Bulan Separa Dijangka Berlaku Jumaat Ini

PUTRAJAYA: Fenomena gerhana bulan separa dijangka berlaku Jumaat ini, 1 Januari 2010 bersamaan dengan 15 Muharam 1431H bermula jam 1.17 pagi hingga 5.28 pagi waktu tempatan.

Menurut kenyataan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) hari ini, gerhana akan bermula dengan fasa penumbra pada jam 1.17 pagi dan mencapai tahap gerhana maksimum pada jam 3.24 pagi.




"Gerhana ini dijangka berakhir pada jam 5.28 pagi. Gerhana yang jelas hanya dapat dilihat apabila bulan memasuki bayang umbra bumi iaitu dari jam 2.53 pagi sehingga gerhana maksimum," kata kenyataan itu.

Rabu, 16 Disember 2009

Fenomena al-Quran

fenomena al-quran.jpg
Judul
:Fenomena al-Quran


The Quranic Phenomenon
Penulis
:Malik Bennabi
ISBN
:978 983 068 265 5
Tahun Terbitan
:2008
(Institut Terjemahan Negara Malaysia)
Harga
:RM45.00

Sinopsis:

Buku ini adalah terjemahan baru karya terkenal Malik Bennabi mengenai al-Quran – hampir 61 tahun selepas edisi asal bahasa Perancisnya diterbitkan pada1947. Istimewanya buku ini, ia tidak sekadar membentangkan bukti kemukjizatan al-Quran sebagai wahyu Tuhan, tetapi juga dianggap sebagai suatu pengadilan untuk menepis usaha dan dakwaan pelbagai pihak berhubung kekurangan al-Quran. Turut dipaparkan ialah analisis mengenai kajian ramai cendekiawan Barat terhadap pengajian Islam dan Nabi. Menariknya, sifat psikologi dan intelektual Nabi – sebelum dan selepas seruan kenabiannya – turut digambarkan dengan teliti dan meyakinkan.


Buku ini juga boleh didapati dalam edisi Bahasa Inggeris - The Quranic Phenomenon, hasil terjemahan Mohamed Tahir al-Mesawi di Kinokuniya, KLCC dengan harga RM39 sahaja.



Ahad, 15 November 2009

Pendirian Dr. Hassan Ali berhubung Isu Dr Asri

EXCO TERUS BELA JAIS TAHAN ASRI


Exco hal ehwal Islam Selangor berkata tindakan tegas yang dikenakan ke atas Dr Mohd Asri Zainul Abidin baru-baru ini antara lainnya bertujuan mengelakkan perpecahan di kalangan orang Islam di negeri itu.

Datuk Dr Hasan Ali, berkata beliau menerima laporan bahawa terdapat ceramah-ceramah agama dibuat di dua hingga tiga tempat berasingan dalam satu lingkungan kawasan yang kecil.



"Apa erti kita nak membangunkan Islam kalau buat (ceramah) berasing-asing?" katanya, ketika menggulung perbahasan bajet 2010 di DUN Selangor semalam.

Tambahnya, tidak timbul soal kekasaran dalam penahanan ke atas bekas mufti Perlis itu, yang disifatkan oleh pihak tertentu seolah-olah seperti untuk menahan pengganas, kerana penguatkuasa Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) terlatih dalam hal itu.

"Saya telah diberi taklimat beberapa kali oleh pegawai Jais, mereka yang berada di tempat kejadian juga beri taklimat kepada saya.

"Mereka nafi perkara itu. Mereka telah diberikan kursus mengenai aspek perundangan dan juga pendekatan untuk membuat tangkapan," kata Dr Hasan lagi.

"Mereka buat dengan lemah-lembut, dengan menghormati orang, dengan tidak menyentuh sebarang tubuh badan."

Katanya, isu melibatkan penangkapan Dr Mohd Asri itu kini telah difailkan di mahkamah dan "tidak cantik" jika beliau mengulas isu tersebut ketika persidangan DUN.

Mengulas mengenai jumlah besar anggota polis yang dikerahkan oleh kumpulan pegawai penguatkuasa Jais ketika menahan bekas mufti itu, Dr Hasan berkata ia disebabkan kehadiran kira-kira 100 orang di tempat itu.

"Kenapa ramai? Sebab yang ada di situ 100 orang, jadi mereka memandang ke hadapan dan bersedia.

"Mereka menggunakan apa guna segala yang patut dan segala yang adil untukl seorang seperti kedudukan Dr Mohd Asri," jelasnya.

Mengulas lagi rentetan peristiwa menjelang tengah malam 1 November lalu di sebuah banglo di Hulu Kelang, beliau berkata 100 orang hadirin di situ telah bertindak menghalang anggota penguatkuasa daripada menahan Dr Mohd Asri.

"Lepas habis ceramah, saya diberitahu (Dr Mohd Asri) dibawa masuk ke bilik. Ada 100 orang di luar bilik itu pula buat perisai.

"Mereka hanya datang untuk beritahu (Dr Mohd Asri) langgar peraturan enakmen pentadbiran (Islam) 2003. Tapi itu tidak boleh dilakukan hingga jam 12 lebih," katanya.

Dr Hasan berkata beliau tidak mempunyai apa-apa masalah untuk bertemu dengan Dr Mohd Asri bagi mendapatkan penjelasan daripada pihak tokoh agama popular itu.

"Ketika dia mula-mula balik dari Jordan dulu, saya antara orang pertama yang bermesyuarat dengan (Dr Mohd Asri). Saya tidak ada masalah untuk bertemu beliau," katanya.

Beliau turut menafikan wujudnya "tangan-tangan ghaib" yang menghalang individu tertentu daripada menerima tauliah untuk mengajar agama di Selangor seperti dibangkitkan ADUN Pakatan Rakyat, Saari Sungib.

Dr Hasan berkata, dakwaan "tangan ghaib" itu tidak timbul kerana hanya Enakmen Pentadbiran Agama Islam negeri itu yang digunakan sebagai asas pentadbiran.

"Kalau kita ada peraturan tapi tak ikut, nanti akan jadi anarki. Kita tidak mahu perkara agama jadi anarki.

"Kalau kita keluarkan pendapat yang bertentangan dengan enakmen itu sendiri, pun akan jadi sukar kepada kita untuk mentadbir. Enakmen itulah yang menjadi kamus kita untuk mentadbir," katanya.

Menjawab satu soalan daripada Saari, wakil rakyat PAS bagi Hulu Kelang, Dr Hasan berkata ulama juga perlu meletakkan kepercayaan kepada ahli-ahli jawatankuasa pentauliahan.

"Kita kena bagi kepercayaan kepada jawatankuasa, kena yakin kepada orang dalam jawatankuasa itu.

"Kalau ada teman yang minta tauliah guna budi bicara tapi jawatankuasa tidak luluskan, boleh datang berjumpa dan dapatkan sebab apa tidak dapat tauliah," katanya.

Dipetik dari http://www.malaysiakini.com/news/117429

Secara peribadi, saya (penulis) menyokong tindakan JAIS atas dasar demi akidah Kaum Muslimin bukan atas dasar politik kepartian. Amat kecewa dengan tindak-tanduk sesetengah politikus dan orang ramai yang mengambil kesempatan ini dengan timbulnya pelbagai polemik.

Pautan Lain : http://khazanah-salafiyyah.blogspot.com/2009/11/dr-hasan-ali-sokong-jais-senarai-7.html

Sabtu, 7 November 2009

Amaran Bah

Oleh : Ibnu Ghazali

Berita bertarikh 5 November lepas menyiarkan amaran oleh Jabatan Meteorologi yang hujan lebat akan turun berterusan tiga hari berturut-turut di kawasan Pantai Timur Semenanjung Malaysia. Orang ramai dinasihatkan berjaga-jaga. Tidak sampai 24 jam daripada tarikh amaran tersebut, negeri Terengganu dan Kelantan telah mengalami banjir akibat hujan lebat yang kerap mencurah.


Semalam (Jumaat), Terengganu dan Kelantan telah mencatatkan kadar mangsa banjir dipindahkan ke tempat pemindahan banjir. Negeri Pahang belum ada lagi mangsa banjir setakat ini namun beberapa kawasan telah dilaporkan mengalami kenaikan air daripada paras biasa khususnya sungai-sungai utama di Pahang.
Ombak mengganas, Pantai Irama


Tiap kali musim banjir tiba, amaran sebegini acap kali kedengaran di layar televisyen atau corong radio. Akan tetapi, saya hairan apabila melihat TV masih ada ’budak-budak’ main air. Apabila dibuat pengamatan, kelihatan mereka bermain air tanpa pengawasan ibu bapa atau orang dewasa. Lagak mereka umpama ’budak-budak’ pulau yang mahir berenang dalam air dalam, mengalahkan orang dewasa. Hakikat, sebaliknya yang berlaku.


Jadi, tidak mustahil pasti ada kes orang lemas terutamanya kanak-kanak dilaporkan seiring dengan amaran banjir. Seolah-olah amaran yang dikeluarkan pihak berwajib tidak dihiraukan oleh individu terbabit mahupun ahli keluarga.


Setakat ini, belum ada lagi kes sedemikian dilaporkan. Bukan saya mendoakan agar berlaku kejadian ini tetapi itulah hakikat yang terjadi tiap kali bah tiba.
Kepada kalian yang mempunyai anak-anak mahupun ahli keluarga yang ’ghairah’ bermain air tiap kali tibanya musim tengkujuh, awasilah gerak-geri mereka agar kejadian yang tidak diingini tidak berlaku. Cuti sekolah kian tiba, maka perhatian kita semua haruslah makin serius memantau aktiviti adik-adik.


FAKTA MUSIM TENGKUJUH

Musim tengkujuh atau lebih sinonim dengan bah di kalangan rakyat Pantai Timur Semenanjung berlaku setiap tahun di penghujung tahun. Bah akan menimpa beberapa negara di Asia dan Malaysia khususnya bahagian Pantai Timur Semenanjung Malaysia akibat daripada perubahan iklim global.


Perubahan iklim ini dipengaruhi oleh angin Monsun Timur Laut. Angin monsun timur laut berasal dari Benua Australia dan bertiup menuju ke arah atas benua sehingga garisan Khatulistiwa dan kawasan sekitarnya. Ianya mengakibatkan hujan lebat di beberapa buah negara yang menerima kunjungan angin berkenaan.


Monsun timur laut biasanya bermula pada awal November dan berakhir pada Mac. Semasa musim ini, angin lazim adalah dari arah timur atau timur laut dengan kelajuan antara 10 dan 20 knot. Negeri-negeri pantai timur Semenanjung Malaysia lebih terjejas dengan tiupan angin yang boleh mencapai 30 knot kelajuannya, atau lebih semasa luruan kuat udara sejuk dari utara (luruan sejuk).1


Selain Malaysia, beberapa buah Negara Asia lain turut menerima tiupan monsun timur laut. Antaranya Filipina, Indonesia dan Kepulauan Borneo.


Dalam tempoh Monsun Timur Laut, seringkali berlaku bencana alam seperti banjir, taufan, tsunami dan puting beliung. Tarikh 26 Disember 2004 masih lagi segar dalam ingatan setiap orang khususnya penduduk negara yang menerima bencana tersebut. Kebanyakannya negara dari Benua Asia. Malaysia turut tidak terkecuali. Tsunami yang berlaku akibat daripada gempa bumi dasar laut mengakibat kerugian yang tidak sedikit nilainya.


1 Geografi Malaysia, Wikipedia Bahasa Melayu, Ensiklopedia bebas
( http://ms.wikipedia.org/wiki/Geografi_Malaysia )




SUATU KETIKA MUSIM BAH LEPAS

Sejurus cuti sekolah bermula, jemputan orang kahwin pasti bermula. Beberapa tahun lepas, saya bersama keluarga telah memenuhi jemputan kahwin keluarga terdekat di Kuala Terengganu. Seingatnya, pada awal bulan November. Jemputan kahwin ni harus untuk kita memenuhinya sekalipun bukan ahli keluarga.


Sebelum berangkat, mestilah dibuat perancangan dulu. Jika fikir logik, masa ni patutnya dah naik air jalan tapi cuaca tiap-tiap hari cerah sehari dua ni. Hujan bah belum turun. Monolog dalaman. Maksudnya, kami masih ragu-ragu untuk ke sana. Risau hujan lebat dalam perjalanan, tak balik hari lah jawabnya.
Abah & Ma nekad nak pergi. Apa-apa tawakal saja jawabnya.
Perjalanan menuju K.T. agak lancar tanpa hujan setitikpun turun. Seusai majlis, kami berangkat pulang. Balik hari.


Perjalanan pulang berlaku sebaliknya, tidak seperti masa pergi. Hujan mencurah agak lebat sehingga terpaksa berhenti beberapa kali sebab tak nampak jalan untuk teruskan perjalanan. Sampai di Penarek, air sungai sudah melimpah ke atas jalan. Kelihatan di tepi jalan, sudah banyak kereta berhenti. Masih belum jelas apa yang berlaku. Bila makin dekat, barulah jelas situasi. Jalan nak balik ke Kelantan dah tutup, kenderaan kecil dah tak boleh lalu.


Jadi, kami terpaksa patah balik untuk lalu jalan lain. Kalau tadi ikut jalan pantai, kali ni kami ambil jalan bukit. Agaknya keadaan sebegitu tidak berlaku. Bila dah patah balik, ambil masa jawabnya. Kami melalui kawasan felda di Setiu. Sampai di Sungai Tong, jalan tutup juga. Malah lagi dahsyat. Kenderaan berat macam lori dan bas langsung tak dapat redah. Keadaan lagi gerun bila lihat arus sungai deras mengalir atas jalanraya. Kami berhenti atas tebing di tepi jalan. Seolah-olah sungai dan jalan sudah ’transform’ jadi sebuah lautan. Amat dahsyat.


Semalaman kami sangkut di Sg. Tong. Perancangan kita tidak sehebat Dia, dalam keadaan ni bekalan makanan takde. Nak buang air lagi seksa sebab xde ’port’ sesuai. Maklumlah, tengah-tengah felda bukannya di R&R Seremban.


Diniharinya, kami redah juga jalan bila tengok air makin surut tapi masih ramai yang tak berani lalu. Mereka sanggup tunggu dalam kereta. Kalau takde bas yang lalu dulu, kami tak berani juga nak lalu. Bila ikut belakang bas, air jadi tenang la sikit. Tak deras macam sebelumnya.
Sampai di Pasir Putih, dugaan seumpama tadi juga berlaku tapi tak sampai tersadar kereta tepi jalan. Dalam redah lautan jalanraya, air deras telah masuk dalam kereta. Kami semua kelam-kabut, mana tidaknya kereta tiba-tiba ’transform’ jadi motor bot. Mujurlah kereta gear manual, kalau automatik memang dihanyutkan air. Alhamdulilah, selamat juga ke seberang tempat tinggi.


Sesudah tu, perjalanan kami macam biasa ditemani hujan renyai-renyai sampailah ke rumah pada waktu Subuh. Sungguh jauh perjalanan kali ni. Namun, tugas belum lagi selesai. Kereta perlu dihantar ’service’ sebab masuk air dalam enjin dan belah dalam bau macam lori ikan. Perancangan Sang Pencipta mengatasi segalanya.


Wallahua’lam...

19 Zulkaedah 1430H, Nilam Puri.

Khamis, 5 November 2009

”Hidden Heroes 1”

Ibnu al-Katsir menyatakan :
“Seluruh yang saya baca tentang raja, baik pada masa penggal pra Islam dan pada masa Islam hingga sekarang, saya tidak pernah melihat seorang raja yang lebih adil dan baik kepada rakyat bawahannya setelah Khulafa’ Arrasyidin dan Umar bin Abdul Aziz yang punya sejarah baik dari Nuruddin, raja yang adil.”


Rentetan daripada artikel lepas yang memetik mutiara hikmah daripada Nuruddin Mahmud Zinki - Tidak Mahu Senyum -, di sini ditulis secara ringkas perihal ‘hidden hero’ yang berperanan dalam mendidik dan membina generasi Salahuddin al-Ayyubi.


Nuruddin Zinki memiliki kemampuan dan karakter yang seakan ayahnya Imaduddin Zinki dalam mentadbir negara. Beliau meneruskan variasi kepimpinan ayahnya dengan menumpukan pada pembangunan negara yang baru dan mengatasi permasalahan yang sedang meliputi khususnya bahaya yang datang dari tentera Salib.


Nuruddin betul-betul menyemangati roh perjuangan ayahnya dalam membela agama. Sewaktu hayat Imaduddin Zinki, beliau berusaha habis-habisan untuk menakluki kota Damsyik yang diyakini sebagai ’kunci’ untuk merebut kembali Palestin.


Nuruddin Mahmud Zinki lahir setelah 20 tahun kejatuhan Baitul Maqdis ke tangan Salib pada 17 Syawal 1511 bersamaan Februari 1118 Masihi. Beliau merupakan pengikut Mazhab Hanafi yang mempunyai ilmu yang luas sehinggakan beliau diberi izin untuk meriwayatkan hadis-hadis. Keperibadian Nuruddin memaparkan beliau sebagai seorang pemimpin ummah berwibawa. Dalam majlisnya, tidak dibicarakan hal-hal kecuali hal ilmu, agama dan jihad.


Beliau mempraktikkan dalam hidupnya dengan adab yang sentiasa menghormati ulama’ dan menghargai mereka. Apabila beliau didatangi oleh seorang fakih dan soleh, beliau berdiri terlebih dahulu dan mempersilakan orang tersebut duduk. Beliau memperlihatkan penghormatan dan penghargaan kepadanya.
Menurut Nuruddin : ”Para ulama’ adalah tentera Allah dan dengan doa mereka kepada Allah kita akan dimenangkan melawan musuh. Mereka punya hak yang berlipat ganda di Baitul Mal yang tidak saya berikan, kalau mereka rela dengan apa yang kita lakukan atas sebahagian hak mereka, maka itu adalah pemberian bagi kita”.


Lihatlah, betapa tinggi komitmen yang dipamerkan oleh Khalifah yang juga layak digelar sebagai Ulama’ yang bersuri teladan kepada sejarah para ulama’ salafussoleh. Maka, tidak mustahil generasi selepasnya dapat mencontohinya sehinggakan lahirnya seorang pejuang agama Salahuddin al-Ayyubi.


Dalam tempoh pemerintahannya selama 28 tahun, Nuruddin berusaha menyatukan umat Islam kesan motivasi daripada Imaduddin Zinki demi untuk Islam. Beliau juga bersungguh-sungguh dalam membebaskan tanah-tanah umat Islam yang dijajah.


Selaras dengan matlamat-matlamat utama kepemimpinan Sultan Nuruddin Zinki, beliau telah menyusun perancangan yang cukup rapi. Antara agenda penting dalam perancangan untuk merealisasikan matlamat tersebut ada disebut di bawah.


Enam Agenda dalam kepemimpinan Sultan Nuruddin Mahmud Zinki :

1. Melahirkan bangsa Islam dan membersihkan kehidupan agama dari pemikiran yang sesat seperti Syiah dan falsafah Yunani.




2. Pemerintahan Islamik beserta menegakkan keadilan dan kesepaduan masyarakat.





3. Menyatukan kekuatan Islam dan menyelaraskan matlamat perjuangan di bawah pemimpin wibawa (menggerakkan Islam di bawah satu wadah-bautaqah).




4. Meningkatkan kehidupan ekonomi dan pembangunan kemudahan awam.


5. Membangunkan pertahanan tentera dan industri senjata.




6. Menyatukan negeri-negeri kecil di Syam, Mesir dan Jazirah Arab.





Kemuncak era kepimpinan Nuruddin Mahmud Zinki adalah pada 1173 Masihi bersamaan 569 Hijrah. Nuruddin bersiap sedia untuk melancarkan serangan terakhir ke Baitul Maqdis dan membebaskan tanah tempat israknya Rasulullah SAW dari cengkaman hegemoni Salib. Maka untuk itu, beliau telah menyiapkan satu mimbar baru yang cantik sekali yang diperuntukkan penggunaanya di Masjidil Aqsa kelak setelah umat Islam berjaya menakluki al-Aqsa. Beliau mengutus surat kepada orang bawahannya di Mesir, Salahuddin al-Ayyubi namun kematian terlalu cepat menjemputnya.



Sultan Nuruddin Zinki telah pulang ke rahmatullah pada 15 Mei 1174 bersamaan 11 Syawal 570 H.


Begitulah akhirnya rentetan jihad seorang mujahid dalam membela nasib umat Islam dan mengangkat kembali darjat agama Islam. Usaha murni beliau diteruskan oleh pewaris selepasnya dan terbukti usaha beliau bersama beberapa individu lain (akan diceritakan dalam ’Hidden Heroes’ seterusnya) berhasil apabila Baitul Maqdis dapat dibebaskan daripada cengkaman Salib yang zalim selepas 13 tahun daripada tarikh kematiannya.

Sabtu, 31 Oktober 2009

Perjalanan Dalam Menswadaya Kesatuan & Kesepaduan Ilmu

Oleh : Ibnu Ghazali

Khamis lepas aku baru sahaja pulang dari Kuantan selepas menziarahi ’kaum kerabat’. Sebelum itu kami tiga beranak telah mengembara dari Barat ke Selatan Semenanjung.


Tujuan utama aku keluar Kelantan selepas dua bulan lepas bertujuan untuk menghadiri temuduga kemasukan UniKL. Perjalanan aku kali ini ditemani Mama dan Cik Yah, masih dengan tongkatnya ke hulu ke hilir. Kesempatan itu aku ambil dengan mengajak mama untuk pergi ke rumah Chik & Cik Ma.

Ahad, 18 Oktober 2009

Tidak Mahu Senyum

Oleh : Ibnu Ghazali

”Sesungguhnya aku malu kepada Allah SWT kalau sampai Ia melihatku tersenyum sementara kaum Muslimin di perbatasan Dimyath sekarang sedang dikepung oleh tentera-tentera Perancis”

Ungkapan di atas pernah diluahkan oleh Sultan Nuruddin Mahmud Zenki apabila ditegur gurunya di dalam majlis ilmu.



Hakikat semulajadi bagi yang bergelar insan akan sentiasa risau jika masalah yang dialami berkait kepentingan DIRI SENDIRI selagi tidak diselesaikan. Konflik dalaman akan dizahirkan pada bibit muka. Maka bermacam-macam ragam dapat dilihat. Termenung memanjang, marah tidak tentu arah, juga TIDAK MAHU SENYUM. Jika masalah tersebut diselesaikan sebaliknya pula yang terjadi ; Melawak memanjang, cakap tanpa henti, senyum macam ’kerang busuk’.

Senario hari ini pula berlaku sebaliknya. Ramai yang memanipulasikan sesuatu keadaan untuk KEPENTINGAN DIRI.

Contoh Satu : Seorang pekerja stesen minyak yang dilayan dengan begitu baik oleh majikan akan mengambil kesempatan ini dengan melenyapkan wang dan minyak petrol untuk diisi pada ’Yamaha LC’ miliknya.

Contoh Dua : Seorang kerani syarikat kenderaan mewah terpakai yang sentiasa dilayan baik oleh majikan menyalahgunakan kedudukan dengan menaruh ’duit kopi’ bagi setiap kereta yang dibeli oleh pelanggan untuk memudahkan urusan jual-beli.



Untuk waktu sekarang memang mendatangkan KESENANGAN-Contoh Satu dan Dua.
Namun, ianya mengundang MASALAH yang lebih besar.

Bagaimana jika kegiatan mereka diketahui oleh majikan yang selama ini bersikap baik bertindak membuang mereka kerja? Tidakkah ini bala-masalah- yang besar kepada diri mereka dan keluarga?

Tidak ada masalah sengaja mencari masalah untuk KEPENTINGAN DIRI. Masalah yang ada tidak difikirkan untuk mencari jalan penyelesaian. Inilah realiti kehidupan dunia sekarang.

Jika masalah yang muncul dalam kehidupan kita tidak berkait langsung dengan KEPENTINGAN DIRI PERIBADI, saya berani katakan kita tidak akan berusaha untuk menyelesaikannya, hendak ambil tahu pun sekali lagi saya jamin kita akan berusaha untuk lari.

Jadi, bagaimana kita hendak ambil motivasi daripada kata-kata Nuruddin Zenki?

Contoh Tiga : Seorang pemuda lulusan PhD Kajian Sosial yang mempunyai kelayakan ditawarkan untuk menjawat jawatan yang tinggi dalam kerajaan menolak pelawaan tersebut sebaliknya memberi khidmat sepenuh masa bersama NGO. Beliau ke sana- ke mari dengan mengadakan ceramah kesedaran Palestin tanpa memikirkan imbuhan yang doperoleh.

Bagi orang yang tidak kenal Nuruddin Mahmud Zenki dan peribadinya akan membaca kata-kata di atas dengan hati dan fikiran kosong tanpa cuba menafsirkan maksud untuk diasimilasikan dalam kehidupan semasa.

Akibat sikap pekerja dalam Contoh Satu dan Dua yang suka memanipulasikan keadaan untuk KEPENTINGAN DIRI, maka sikap sesetengah pekerja ini memberi ’worldview’ yang buruk kepada majikan. Akhirnya wujudlah situasi di mana majikan mencari pekerja semata-mata untuk menghasilkan keuntungan semata-mata.

Sedangkan majikan hanya sekadar memerhati dan enak bersantai di atas kerusi yang empuk. Inilah dia ’perhambaan moden’ pada hari ini.

Sikap yang dizahirkan oleh sesetengah pekerja diibaratkan pepatah Melayu ’Kerana nila setitik, rosak susu sebelanga’.

Menyebut pasal pepatah Melayu, saya tertarik dengan Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini. Ucapan oleh pemimpin-pemimpin UMNO rata-ratanya menyelitkan pepatah Melayu; pantun, sajak dan sebagainya. Saya berbangga kerana masih ada yang teguh menonjolkan budaya Melayu. Namun, bagi saya itu semua adalah kosong. Sekadar terungkap di bibir mulut tanpa menghayati dan mengamalkan budaya Melayu yang sebenar.


Mana mungkin, orang yang mengungkapkan pantun Melayu yang sarat dengan mesej dan adat boleh melanggar jika mereka memahaminya.

Amat menjelikkan tiapkali ditayang iklan di TV yang menunjukkan seorang perempuan Melayu membawa masuk lelaki ke dalam rumah sambil mengheret tangan dan berlari. Sejurus itu, lelaki tadi terpandang emak perempuan berkenaan dan terpesona dengan kecantikannya....

Tidakkah ini secara terangan melanggar adat Melayu kita? Usah bicarakan hal agama jika tidak mengerti.

Jika betul ’pemimpin-pemimpin’ tadi berbudaya sudah pasti iklan seperti itu tidak diluluskan untuk ditayangkan di khalayak.

Fenomena seperti ini sudah dirasakan lali oleh masyarakat. Tidak dapat disangkal lagi, ianya juga merupakan satu manipulasi untuk KEPENTINGAN DIRI - keuntungan ekonomi - yang mana akhirnya akan lahir MASALAH-MASALAH dalam generasi remaja khususnya dan masyarakat amnya.

Siapa yang akan dipertanggungjawabkan? Ibu bapa? Guru? Rakan?

Jadi, perlu kita cuba memahami dengan sebaiknya kata-kata Nuruddin agar kita menjadi insan yang beradab.

Akan diceritakan perihal Nuruddin Mahmud Zenki dalam artikel kemudian. Insya-Allah.

Khamis, 8 Oktober 2009

Wacana Pemikiran

Malik Bin Nabi

Malek Ben Nabi (1905 - 1973), seorang pemikir Algeria yang terkenal dari karya-karyanya tentang kondisi kebangkitan masyarakat Islam moden.



Kehidupan

Malek Ben Nabi dilahirkan di Constantine daripada sebuah keluarga miskin di Algeria konservatif masyarakat. Belajar di sekolah awam di Aljazair dan lulus pada 1925. Berangkat Paris selepas itu tetapi tidak berjaya untuk bekerja dan kembali pulang. Beliau bekerja sebagai pegawai di mahkamah keadilan pada 1927 di mana beliau mula memahami status negaranya.

Isnin, 28 September 2009

Syawal Pengganti Ramadhan

Oleh : IbnuGhazali

Ramadhan bulan yang penuh dengan barokah telah berlalu pergi dan semakin jauh dengan kita semua. Amat rugi bagi kita yang tidak merebut peluang yang telah dihamparkan oleh Allah untuk kita menambah amal pada bulan lepas. Ramadhan hadapan belum tentu dapat kita nikmati lagi. Syawal hadir sebagai pengganti Ramadhan, bulan yang dijadikan khusus untuk kita memanjatkan kesyukuran kepadaNya melalui lafaz-lafaz mulia tasbih, tahmid dan amalan lain.

Khamis, 6 Ogos 2009

Puasa Selepas Nishfu


Dicatat oleh : Abu Muhammad

Masih ramai kalangan awam yang keliru dengan hukum berpuasa selepas hari Nishfu Sya'baan (hari 15 Sya'baan).

Pidato Perdana : Malam Aspirasi Generasi Salahuddin



Rakaman 'Volume' seterusnya layari [Link]

Ahad, 5 Julai 2009

Cara-cara Memilih Sahabat

Oleh : محمد ذالاءمين بن غزالي

بسم الله الر حمن الرحيم
Telah disebut oleh al-Imam Hujjatul Islam Abu Hamid Muhamad bin Muhamad Ghazali (Imam Ghazali) di dalam kitabnya "Bidayatul Hidayah (Permulaan Jalan Hidayah)" perihal dalam memilih sahabat. Saya ingin berkongsi dengan semua nasihat yang dikemukakan oleh tokoh agung Islam ini setelah berkenan Tuan Guru Ahmad Fahmi Zamzam al-Banjari an-Nadwi al-Maliki mengijazahkan sanad kitab Bidayatul Hidayah karangan Imam al-Ghazali. Moga manfaat dan barokah dapat dikecapi semua, insyaALLAH.

Antara syarat-syarat yang patut ada pada seseorang untuk dijadikan sahabat adalah :

Sabtu, 4 Julai 2009

Al-Fatihah buat Nabil Marwan

Allah menyayangimu sahabat (UiAM, Petaling Jaya). Pemergianmu pada malam yang mulia amat dicemburui. Walaupun kita hanya kenal dalam tempoh setahun namun akhlakmu menggentarkan jiwa sesiapa sahaja. Moga I’lmu al-Quran yang engkau ajarkan padaku bermanfaat sebagai bekalan. Di sini, saya sertakan blog sahabat-sahabat yang lebih rapat dengan arwah untuk perkongsian kita semua.

http://pecinta-ilahi.blogspot.com/2009/07/allah-lebih-menyayangimu.html

http://hilmi-albesuti.blogspot.com/2009/07/nabil-marwan-kekasihmu-menunggu-di.html

http://ihsanhusaini.blogspot.com/2009/07/nabil-marwan-dalam-kenangan.html

Menyingkap Peristiwa 4 Julai : Bermulanya Penaklukan

Oleh : IbnuGhazali

Kehebatan tokoh-tokoh pejuang Islam pada era kegemilangan Islam dahulu merupakan anugerah daripada Allah kepada umat kemudian agar mengambil pengajaran. Sultan Salahuddin al-Ayyubi merupakan salah seorang daripada mereka. Salahuddin dikenali dengan kejayaan beliau dalam membebaskan kota suci tiga agama Yahudi, Kristian dan Islam, Baitul Maqdis daripada cengkaman pasukan Salib.



Hakikat yang kita lihat pada hari ini dalam perebutan kota suci Baitul Maqdis berlaku sejak sekalian lamanya. Sejarah telah memaparkan orang Islam berjaya mentadbir dan mengimarah Baitul Maqdis dengan saksama suatu masa dahulu. Namun, akibat kerencatan puak syiah Fathimiyah timbul perbalahan antara Kaum Muslimin dengan Kaum Kristian yang selama ini bebas mengerjakan 'haji' di sana. Kaum Muslimin difitnah telah menganiaya Kaum Kristian, bertitik tolak dari perkara ini maka berlakulah penaklukan tentera Salib ke atas Baitul Maqdis pada tahun 1099 Masihi yang merupakan Perang Salib Pertama dan kemenangan memihak kepada mereka.



Perang Salib berlaku antaranya untuk menunjukkan ketaatan kuat kepada agama yang bangkit pada abad ke-11 di kalangan orang awam. Salah satu sebab ini terjadi adalah Kontroversi Istiadat Pengurniaan (di mana satria kristian menerima penghargaan dari pihak gereja) yang bermula lebih kurang pada 1075 dan masih berterusan sepanjang Perang Salib Pertama. Perkara ini telah memberi kesan yang sangat mendalam kepada seluruh penganut Kristian sehingga mereka berlumba-lumba untuk menarik sokongan umum, menyebabkan satu pengalaman keagamaan yang dramatik. Hasilnya adalah satu kesedaran spiritual Kristian dan timbulnya minat awam yang kuat terhadap agama. Ini diperkuatkan dengan propaganda keagamaan, dan sokongan untuk Perang Yang Adil untuk merampas semula Tanah Suci termasuk Baitulmuqaddis (di mana berlakunya kematian, kebangkitan semula dan naiknya Nabi Isa ke syurga) dan Antioch (bandar raya Nasrani yang pertama) daripada orang Islam. Semua ini akhirnya dinyatakan dalam sokongan popular massa untuk Perang Salib Pertama sewaktu abad ke-12.
(Wikipedia : Perang Salib)


Kekalahan Kaum Muslimin menjadi pemangkin untuk mengembalikan Baitul Maqdis ke pangkuan Islam. Salahuddin al-Ayyubi bangkit memimpin Kaum Muslimin menentang musuh Islam yang melakukan kekejaman dan penganiayaan ke atas penduduk kota suci ini. Namun, bukan Salahuddin seorang yang menjadi pahlawan dalam usaha murni ini kerana perlu diingat bahawa sumbangan ulama' dan umara' turut bersama roh pahlawan ini.

Pahlawan ummah : Salahuddin al-Ayyubi (sekadar hiasan)



Antara yang berperanan dalam membentuk keperibadian Sultan Salahuddin al-Ayyubi dan masyarakat adalah Sultan Nuruddin Zinki, Syeikh Abdul Qadir Jailani, Imam al-Ghazali dan beberapa orang tokoh agama lain. Kerjasama dan kordinasi berperingkat berjaya menyatukan umat yang berpecah belah, seterusnya berjaya melahirkan umat yang gemilang. Salahuddinlah merupakan produk terbesar.





Tokoh-tokoh reformasi : Imam al-Ghazali & Syeikh Abdul Qadir Jailani


Semangat dan roh Islam yang kuat dalam diri Pahlawan Salahuddin mengakibatkan beliau istiqamah dalam perjuangan. Keperibadian beliau melonjak ke arah kezuhudan setelah menyedari dan memahami istilah perjuangan. Kita sebagai generasi muda pada hari ini perlu mencari dan menyelidik secara mendalam keperibadian mulia Salahuddin untuk dijadikan qudwah dalam kehidupan. Salahuddin pada belah malamnya istiqamah memperhampakan diri kepada Allah dan siang harinya ligat di medan pertempuran. Jauh sekali jika dibandingkan dengan kita.


Tidak mustahil beliau mampu menguasai apa yang orang lain tidak mampu. Allah telah mengilhamkan kepadanya perancangan yang rapi dalam mencapai visi dan misi pembebasan kota suci Baitul Maqdis. Strategi dalam melancar serangan ke atas pihak Salib diatur dengan bijaksana.


"Sesungguhnya Allah tidak merubah keadaan suatu kaum sehingga mereka merubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri"
(Surah ar-Ra'd 13:11)


Maka, pada 4 Julai 1187 Masihi bersamaan 25 Rabi'ul Akhir 583 Hijrah terjadilah perang besar-besaran antara dua kekuatan Islam dan Salib yang telah lama ditunggu oleh umat Islam. Hampir setengah abad Salahuddin menyiapkan kekuatan ini iaitu semenjak beliau masih berumur belasan tahun ; ikut bertempur bersama ayah, bapa saudara dan rajanya. Dalam pertempuran Hittin ini, pasukan Salib mengalami kekalahan teruk. Dari Hittin, Salahudddin menguasai semua daerah-daerah yang dahulu diduduki oleh pasukan Salib seperti Akka, Haifa, Nablus dan Bethlehem.


Gambaran Perang Hittin : 4 Julai 1187



Ingin ditekankan di sini, kita perlu tahu dan sedar yang Perang Hittin keadaannya sama dengan Perang Badar. Perbandingan musuh jauh lebih ramai iaitu sebanyak 45,000 orang kesemuanya. Namun, kemenangan berpihak kepada pihak Islam. Apakah rahsia di sebalik ini? Seperti dinyatakan di atas, moral tentera Islam yang tinggi dan strategi perang yang canggih manjadi penyumbang kejayaan Islam dalam Perang Hittin.


Tarikh keramat 4 Julai menjadi saksi kemenangan pihak Islam seterusnya telah melunturkan semangat pihak Salib yang masih berbaki. Kejayaan ini merupakan permulaan kemenangan Kaum Muslimin dalam merebut kembali Baitu Maqdis.


Perang Hittin pembuka jalan untuk menakluk kembali Palestin!


Sama-samalah kita mengambil ibrah daripada peristiwa kemenangan pihak Islam ke atas pihak Salib dalam Perang Hittin bagi membangkitkan semangat Kaum Muslimin yang luntur kini dalam perjuangan merebut kembali Palestin daripada kaum laknatullah. Ayat Allah di atas mengandungi rahsia yang amat bermakna bagi seluruh hamba-Nya dan individu Muslim khususnya. Jangan kita biarkan tarikh kemenangan dan kekalahan Kaum Muslimin terkubur dalam timbunan sejarah.

Wallahua’lam.


RUJUKAN :
Kebangkitan Generasi Salahuddin dan Kembalinya Al-Aqsa ke Pangkuan Islam, Dr. Majid Irsan Kailani : ABIM, 2009

Rahsia Baitul Maqdis (Palestine), Muhammad Baihaqi : Al-Hidayah Publication, 2007

http://ms.wikipedia.org/wiki/Laman_Utama

http://www.mindamadani.my





Jumaat, 19 Jun 2009

HIZBU TAHRIR : PULANGLAH KE PALESTIN

Saya pernah 2 atau 3 kali dikunjungi oleh rakan - rakan dari Hizbu Tahrir . Sebahagiannya ada yang datang dari Kuala Lumpur bagi berbincang mengenai PAS dan Hizbu Tahrir bersama idealogi perjuangan masing - masing .



BACA SELANJUTNYA DI [LINK]

Isnin, 15 Jun 2009

Tahu, Faham, Amal?

Oleh : IbnuGhazali

Sikap mengkritik kerana kebenaran yang lahir daripada nilai hormat-kritis amat perlu dalam pembentukan budaya ilmu bagi individu, kelompok, jama’ah, masyarakat dan Negara.

Hujjatul Islam Imam al-Ghazali merupakan tokoh yang tidak asing lagi dalam menyumbang kepada agama. Sumbangan beliau terdiri daripada perlbagai disiplin ilmu. Beliau berjaya menguasai ilmu falsafah hanya dalam tempoh dua tahun bergurukan dirinya sendiri. Kemampuan yang dimiliki menarik perhatian ramai orang terhadap pemikirannya sama ada pengikutnya ataupun musuh.

Tahafut al-Falasifah, salah satu karya agung al-Ghazali yang terhasil daripada nilai ini telah memberikan kritikan yang terperinci tentang kekeliruan ahli falsafah Islam yang dipengaruhi oleh unsur dan pemikir Yunani. Sikap yang ditonjolkan oleh beliau membuka ruang kepada generasi selepasnya untuk mengkaji agar ketemu kebenaran yang dimaksudkan.



Kepakaran yang dimiliki oleh Imam al-Ghazali dalam kepelbagaian ilmu amat berperanan dalam pembentukan generasi Salahuddin Al-Ayyubi satu ketika dahulu. Bagi golongan yang menolak kaedah al-Ghazali dalam melahirkan seorang pahlawan perkasa Sultan Salahuddin al-Ayyubi yang berjaya membebaskan Baitul Maqdis daripada kaum laknatullah perlulah menampakkan jalan seperti yang telah ditunjukkan oleh Hujjatul Islam kearah pembebasan Palestin.

Perlu bagi kita mengikut jejak langkah ahli agama selepas para sahabat, tabi’ dan tabi’in kerana sabda baginda :

“Sebaik-baik abad (generasi) adalah abadku. Kemudian yang sesudah mereka, kemudian yang sesudah mereka”

Generasi kepimpinan sekarang ketandusan pengisian dari aspek aqal, roh dan nafsu khususnya pemimpin gerakan Islam. Tidak mustahil jika gerakan Islam sekarang dipandang rendah oleh masyarakat, masyarakat Islam sendiri. Dalam skop yang lebih jelas dapat dilihat apabila seseorang yang menggelar diri mereka sebagai aktivis umat, hanya menumpukan perhatian kepada aktivisme lantas terus mengabaikan intelektualisme dan mujahadah diri. Sedangkan sebagai seorang aktivis umat, perlulah memiliki keseimbangan dalam ketiga-tiga aspek.

Contoh yang ingin saya bawakan, mungkin amat pahit buat orang yang telah lama terlibat dalam gerakan Islam tapi ingin juga saya nyatakan agar kita sama-sama dapat muhasabah diri. Apabila melihat abang-abang yang amat berpengalaman dalam persatuan, saya dapat melihat dengan jelas situasi ini. Sebenarnya hal ini bukan merupakan isu baru, namun di manakah penghujungnya? Bagi gerakan Islam (gerakan pelajar) yang menjadikan ’Budaya Ilmu’ sebagai orientasi gerakan, penerapan budaya ilmu tidak dapat dilihat. Adakah dengan membawa buku kemana-mana sahaja telah dianggap sebagai gerakan yang berjaya memugar budaya ilmu? Sedangkan apabila berbicara hanya kata-kata kosong yang keluar mulut.

Di sini dilampirkan nukilan puisi pemikir Islam untuk renungan kita :

RISALAH UNTUK AKTIVIS UMAT

Runtuhan bangunan dan kota bedilan meriam

Tangisan bayi dan laungan insan kelaparan

Derita di wajah Hawa dinoda tentera

Tengkorak bersepahan di padang luka;

Mudah mengaut simpati umat ku

Para aktivis segera ke hilir ke hulu



Dari kampus ke hujung desa dan pinggir kota

Kering tekak menyebar cerita: umat derita!



Dan putaran sengsara umat tiada putusnya

Dari helah kejam Yahudi ke angkara Serbia

Para aktivis tiada gentar bersuara lantang

"Ayuh! Kita tentang segala petualang!"



Tapi runtuhan tiang-tiang mahligai ilmu dan iman

Tidak terkesan pada badan dan bangunan

Hanya terpapar pada budi dan bahasa

Jelas terang pada hati nan tiada buta.



Dan keluhan ilmuan dalam pendakian

Mencari makna dua kehidupan

Memerah akal menggilap pekerti

Menimba hikmat Ali dan Ghazzali

Membangun lembaga pengajian tinggi

Menghimpun alim mutaallim sejati;

Dan bila pewaris Nabi mengedar piala

Minuman budi dan akal perkasa

Ingin membina bangsa semesta

Mengangkat amanat junjungan Mustafa.



Para aktivis menggeleng kepala…..

Perjuangan apa sebegini rupa?

Tiada darah tumpah tiada rumah musnah?

Tiada Hawa diratah tiada bayi dimamah?

Hanya dakwat terhimpun di muka surat

Hanya kata-kata yang mudah dibuat!



Kehancuran khazanah ilmiah pada mereka

Akibat kedegilan ilmuan terlalu leka

Dengan kertas kertas lama dan kata-kata

Dengan ide-ide yang tak dapat diniaga

Pemahaman tentang Tuhan dan segala sifat

Pemurnian jiwa dari khilaf dan khurafat

Bukan berupaya mengisi perut lapar

Bukan mampu menangkis peluru liar!



Aktivis mencari kuasa membina bangsa

Kuasa sebenar dalam dada tiada nyata



Bila kuasa tergenggam sedikit

Namun harta berganda berbukit

Jiwa hampa menjelma belangnya

Dianggap musuh segala hukama!

Nilai akhlak terpaku di libas zahir

Wibawa agama dirujuk ke pena Kafir!



Kata-kata di muka kertas beratnya hakiki

Tersimpan khazanah Ilahi dan mutiara insani

Jika digali-gilap disimpul makna dalam dada

Jika diserap pada ribuan jiwa remaja dan dewasa

Jika dipimpin helang ilmi menerbang di langit luas

Mengawal padang dari belalang dan haiwan buas




Para aktivis: bermukimlah di taman adabi

Sungguhnya kekuatan kita bermula di sini

Membangun bangsa berjiwa singa berhati mulia

Kita mampu bangkit semula, percayalah hamba!


Wan Mohd Nor Wan Daud
Buku "Mutiara Taman Adabi"
Februari 2003
(http://sitifauziana.multiply.com/journal/item/56/Puisi_Risalah_Untuk_Aktivis_Umat)


Tidak dinafikan ramai abang-abang yang menghayati budaya ilmu, apabila berbicara sandaran sumber dan kupasan buku-buku ilmiah dilontarkan. Inilah sepatutnya yang perlu ada bagi orang yang berkecimpung dalam gerakan Islam khususnya barisan qiyadah.

Akhirnya jika nilai yang lahir daripada budaya ilmu tidak dimiliki oleh individu, tidak akan berhasil Tahu, Faham, Amal dalam kehidupan harian kita.

Wallahua’lam...

Selasa, 9 Jun 2009

Komunisme dan Sekularisme?

Oleh : IbnuGhazali

Saya suka untuk memetik pandangan dalam ruangan kolumnis daripada salah satu akhbar berkenaan isu yang hangat diperkatakan baru-baru ini.
“Melihat Chin Peng dari sudut berbeza”.


Tajuk yang dipapar amat menarik bagi saya untuk memahami isi kandungannya. ”
...Islam menentang kedua-dua ideologi Komunisme dan Sekularisme. Islam juga dengan keras menentang ISA yang dicadangkan untuk digunakan kepada Chin Peng dan mereka yang bersimpati dengan beliau”. Antara pendapat yang dilontarkan oleh penulis dalam ruangan berkenaan.




Saya bukan berniat untuk menidakkan apa yang dinyatakan tetapi hanya ingin melontarkan persoalan demi kebenaran dan keadilan. Pada fahaman saya berdasar kenyataan yang dibuat, ideologi Sekularisme lebih buruk daripada Komunisme.


Pada hemat saya, kalian lebih arif dalam menilai kedua-dua fahaman ini.


Saya ingin menyelit berkenaan input yang diperoleh setelah melihat dokumentari berkenaan Rosli Dhobi, Pembunuh atau Pejuang? (kalau sahabat masih ingat dalam buku teks sejarah sekolah ada mengisahkan perjuangan beliau bersama sahabat-sahabat). Beliau yang pada ketika pembunuhan Sir Duncan Steward hanya berumur 17 tahun telah berjaya menyemangati roh pejuang dalam membebaskan tanah air daripada cengkaman penjajah British.

Ahad, 31 Mei 2009

Al-Ibtila’

Oleh : IbnuGhazali


Bismillahirrahmanirrahim…


Sambungan daripada artikel sebelum ini berkenaan misi di Pulau Perhentian. Panggilan telefon dari kampung menyahut aku untuk pulang. Kakak aku mengalami kemalangan jalan raya dinihari hari berkenaan. Hati ini mula gelisah memikirkan keadaan Cik Yah. Semua adik-beradik aku pulang ke kampung, yang bermastautin di Sabah pun turut pulang ’emergency’.



Aku tinggalkan adik-adik tanpa sebarang khabar berita. Sedih sebenarnya aku meninggalkan mereka tanpa memberitahu yang aku perlu bergegas pulang ke darat. Waktu itu mereka semua berada dalam kelas, kami (fasilitator) merancang untuk turut bersama mereka di dalam kelas.


Jamuan bersama guru-guru dan adik-adik



Rabu, 27 Mei 2009

Hamba yang Dho’if

Oleh : IbnuGhazali

“Dan carilah (pahala) negeri akhirat dengan apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu, tetapi janganlah kamu lupakan bagianmu di dunia dan berbuat baiklah (kepada orang lain) sebagaimana Allah telah berbuat baik kepadamu, dan janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi. Sungguh, Allah tidak menyukai orang yang berbuat kerosakan.” (QS : 28:77)

Isnin, 25 Mei 2009

Perkampungan Menara Gading Kebangsaan '09

Misi di Pulau Perhentian

Oleh : IbnuGhazali

Alhamdulillah, baru sekarang aku berpeluang untuk menulis kerana sentiasa dihimpit oleh waktu. Aku baru sahaja pulang dari Pulau Perhentian beberapa hari lepas atas dasar amanah yang dipertanggungjawabkan. Untuk mengetuai kumpulan fasilitator amat terasa bebannya, tambahan pula peserta kali ini adalah murid-murid sekolah. Berbekalkan pengalaman yang amat sedikit aku melangkah ke Jeti Kuala Besut untuk ke Pulau Perhentian lebih kurang pada pukul 9.30 pagi Ahad.



Debaran sewaktu menunggu untuk menaiki bot laju