Ahad, 5 Julai 2009

Cara-cara Memilih Sahabat

Oleh : محمد ذالاءمين بن غزالي

بسم الله الر حمن الرحيم
Telah disebut oleh al-Imam Hujjatul Islam Abu Hamid Muhamad bin Muhamad Ghazali (Imam Ghazali) di dalam kitabnya "Bidayatul Hidayah (Permulaan Jalan Hidayah)" perihal dalam memilih sahabat. Saya ingin berkongsi dengan semua nasihat yang dikemukakan oleh tokoh agung Islam ini setelah berkenan Tuan Guru Ahmad Fahmi Zamzam al-Banjari an-Nadwi al-Maliki mengijazahkan sanad kitab Bidayatul Hidayah karangan Imam al-Ghazali. Moga manfaat dan barokah dapat dikecapi semua, insyaALLAH.

Antara syarat-syarat yang patut ada pada seseorang untuk dijadikan sahabat adalah :


1. Orang yang berakal
- Tidak ada kebaikan dalam bersahabat dengan orang bodoh kerana ianya membawa mudharat. Musuh yang berakal itu lebih baik daripada sahabat yang bodoh.

Berkata Saidina Ali bin Abi Talib :
• Dan jangan engkau bersahabat dengan orang yang bodoh, jauhilah akan dia
• Berapa banyak orang jahil yang telah membinasakan orang alim ketika ia bersahabat dengannya
• Seseorang itu akan dinilai mengikut tingkatan sahabat yang ia berjalan dengannya
• Kerana bagi segala sesuatu ada ukuran dan keserupaannya
• Maka begitulah halnya hati yang menyerupai hati yang lain. Ia akan menunjukkan hubungan ketika adanya pertemuan (persahabatan).



2. Orang yang baik akhlaknya
- Janganlah kita bersahabat dengan orang yang tidak dapat mengawal dirinya ketika marah dan ketika ia dirangsang oleh nahfu syahwatnya (jahat perangai).



3. Orang yang soleh
- Sebaiknya kita perlu menjauhi daripada bersahabat dengan orang yang tidak takutkan Allah (fasiq). Firman Allah kepada rasulNya :

" dan jangan engkau patuh akan orang yang telah Kami lupakan akan hatinya daripada mengingati Kami dan terus sahaja mengikut hawa nafsunya"
(Surah al-Kahfi 18 : 28)



4. Jangan bersahabat dengan orang yang tamak dunia
- Orang yang tamakkan dunia adalah racun yang dapat membunuh, tabiatnya cepat mengubah tabiat kita tanpa disedari. Bersahabat dengan orang yang tamak pada dunia akan menambah tamak kita terhadap dunia dan bersahabat dengan orang yang zuhud akan menambah zuhud kita daripada dunia.



5. Orang yang benar
- Pendusta laksana fatamorgana yang seakan-akan mendekatkan yang jauh atau menjauhkan yang dekat.


Itulah lima syarat yang perlu bagi kita dalam memilih sahabat. Adakah sahabat kita sekarang memiliki kriteria-kriteria di atas atau salah satu daripadanya? Belum tentu lagi orang yang rajin ke surau atau masjid mempunyai kriteria di atas dan belum tentu juga orang yang suka melepak tidak memiliki kriteria tersebut. Kemungkinan besar kita terhimpit dalam keadaan mencari sahabat yang baik. Tepuk dada tanya iman.

والله اعلم

Tiada ulasan:

Catat Ulasan