Sabtu, 7 November 2009

Amaran Bah

Oleh : Ibnu Ghazali

Berita bertarikh 5 November lepas menyiarkan amaran oleh Jabatan Meteorologi yang hujan lebat akan turun berterusan tiga hari berturut-turut di kawasan Pantai Timur Semenanjung Malaysia. Orang ramai dinasihatkan berjaga-jaga. Tidak sampai 24 jam daripada tarikh amaran tersebut, negeri Terengganu dan Kelantan telah mengalami banjir akibat hujan lebat yang kerap mencurah.


Semalam (Jumaat), Terengganu dan Kelantan telah mencatatkan kadar mangsa banjir dipindahkan ke tempat pemindahan banjir. Negeri Pahang belum ada lagi mangsa banjir setakat ini namun beberapa kawasan telah dilaporkan mengalami kenaikan air daripada paras biasa khususnya sungai-sungai utama di Pahang.
Ombak mengganas, Pantai Irama


Tiap kali musim banjir tiba, amaran sebegini acap kali kedengaran di layar televisyen atau corong radio. Akan tetapi, saya hairan apabila melihat TV masih ada ’budak-budak’ main air. Apabila dibuat pengamatan, kelihatan mereka bermain air tanpa pengawasan ibu bapa atau orang dewasa. Lagak mereka umpama ’budak-budak’ pulau yang mahir berenang dalam air dalam, mengalahkan orang dewasa. Hakikat, sebaliknya yang berlaku.


Jadi, tidak mustahil pasti ada kes orang lemas terutamanya kanak-kanak dilaporkan seiring dengan amaran banjir. Seolah-olah amaran yang dikeluarkan pihak berwajib tidak dihiraukan oleh individu terbabit mahupun ahli keluarga.


Setakat ini, belum ada lagi kes sedemikian dilaporkan. Bukan saya mendoakan agar berlaku kejadian ini tetapi itulah hakikat yang terjadi tiap kali bah tiba.
Kepada kalian yang mempunyai anak-anak mahupun ahli keluarga yang ’ghairah’ bermain air tiap kali tibanya musim tengkujuh, awasilah gerak-geri mereka agar kejadian yang tidak diingini tidak berlaku. Cuti sekolah kian tiba, maka perhatian kita semua haruslah makin serius memantau aktiviti adik-adik.


FAKTA MUSIM TENGKUJUH

Musim tengkujuh atau lebih sinonim dengan bah di kalangan rakyat Pantai Timur Semenanjung berlaku setiap tahun di penghujung tahun. Bah akan menimpa beberapa negara di Asia dan Malaysia khususnya bahagian Pantai Timur Semenanjung Malaysia akibat daripada perubahan iklim global.


Perubahan iklim ini dipengaruhi oleh angin Monsun Timur Laut. Angin monsun timur laut berasal dari Benua Australia dan bertiup menuju ke arah atas benua sehingga garisan Khatulistiwa dan kawasan sekitarnya. Ianya mengakibatkan hujan lebat di beberapa buah negara yang menerima kunjungan angin berkenaan.


Monsun timur laut biasanya bermula pada awal November dan berakhir pada Mac. Semasa musim ini, angin lazim adalah dari arah timur atau timur laut dengan kelajuan antara 10 dan 20 knot. Negeri-negeri pantai timur Semenanjung Malaysia lebih terjejas dengan tiupan angin yang boleh mencapai 30 knot kelajuannya, atau lebih semasa luruan kuat udara sejuk dari utara (luruan sejuk).1


Selain Malaysia, beberapa buah Negara Asia lain turut menerima tiupan monsun timur laut. Antaranya Filipina, Indonesia dan Kepulauan Borneo.


Dalam tempoh Monsun Timur Laut, seringkali berlaku bencana alam seperti banjir, taufan, tsunami dan puting beliung. Tarikh 26 Disember 2004 masih lagi segar dalam ingatan setiap orang khususnya penduduk negara yang menerima bencana tersebut. Kebanyakannya negara dari Benua Asia. Malaysia turut tidak terkecuali. Tsunami yang berlaku akibat daripada gempa bumi dasar laut mengakibat kerugian yang tidak sedikit nilainya.


1 Geografi Malaysia, Wikipedia Bahasa Melayu, Ensiklopedia bebas
( http://ms.wikipedia.org/wiki/Geografi_Malaysia )




SUATU KETIKA MUSIM BAH LEPAS

Sejurus cuti sekolah bermula, jemputan orang kahwin pasti bermula. Beberapa tahun lepas, saya bersama keluarga telah memenuhi jemputan kahwin keluarga terdekat di Kuala Terengganu. Seingatnya, pada awal bulan November. Jemputan kahwin ni harus untuk kita memenuhinya sekalipun bukan ahli keluarga.


Sebelum berangkat, mestilah dibuat perancangan dulu. Jika fikir logik, masa ni patutnya dah naik air jalan tapi cuaca tiap-tiap hari cerah sehari dua ni. Hujan bah belum turun. Monolog dalaman. Maksudnya, kami masih ragu-ragu untuk ke sana. Risau hujan lebat dalam perjalanan, tak balik hari lah jawabnya.
Abah & Ma nekad nak pergi. Apa-apa tawakal saja jawabnya.
Perjalanan menuju K.T. agak lancar tanpa hujan setitikpun turun. Seusai majlis, kami berangkat pulang. Balik hari.


Perjalanan pulang berlaku sebaliknya, tidak seperti masa pergi. Hujan mencurah agak lebat sehingga terpaksa berhenti beberapa kali sebab tak nampak jalan untuk teruskan perjalanan. Sampai di Penarek, air sungai sudah melimpah ke atas jalan. Kelihatan di tepi jalan, sudah banyak kereta berhenti. Masih belum jelas apa yang berlaku. Bila makin dekat, barulah jelas situasi. Jalan nak balik ke Kelantan dah tutup, kenderaan kecil dah tak boleh lalu.


Jadi, kami terpaksa patah balik untuk lalu jalan lain. Kalau tadi ikut jalan pantai, kali ni kami ambil jalan bukit. Agaknya keadaan sebegitu tidak berlaku. Bila dah patah balik, ambil masa jawabnya. Kami melalui kawasan felda di Setiu. Sampai di Sungai Tong, jalan tutup juga. Malah lagi dahsyat. Kenderaan berat macam lori dan bas langsung tak dapat redah. Keadaan lagi gerun bila lihat arus sungai deras mengalir atas jalanraya. Kami berhenti atas tebing di tepi jalan. Seolah-olah sungai dan jalan sudah ’transform’ jadi sebuah lautan. Amat dahsyat.


Semalaman kami sangkut di Sg. Tong. Perancangan kita tidak sehebat Dia, dalam keadaan ni bekalan makanan takde. Nak buang air lagi seksa sebab xde ’port’ sesuai. Maklumlah, tengah-tengah felda bukannya di R&R Seremban.


Diniharinya, kami redah juga jalan bila tengok air makin surut tapi masih ramai yang tak berani lalu. Mereka sanggup tunggu dalam kereta. Kalau takde bas yang lalu dulu, kami tak berani juga nak lalu. Bila ikut belakang bas, air jadi tenang la sikit. Tak deras macam sebelumnya.
Sampai di Pasir Putih, dugaan seumpama tadi juga berlaku tapi tak sampai tersadar kereta tepi jalan. Dalam redah lautan jalanraya, air deras telah masuk dalam kereta. Kami semua kelam-kabut, mana tidaknya kereta tiba-tiba ’transform’ jadi motor bot. Mujurlah kereta gear manual, kalau automatik memang dihanyutkan air. Alhamdulilah, selamat juga ke seberang tempat tinggi.


Sesudah tu, perjalanan kami macam biasa ditemani hujan renyai-renyai sampailah ke rumah pada waktu Subuh. Sungguh jauh perjalanan kali ni. Namun, tugas belum lagi selesai. Kereta perlu dihantar ’service’ sebab masuk air dalam enjin dan belah dalam bau macam lori ikan. Perancangan Sang Pencipta mengatasi segalanya.


Wallahua’lam...

19 Zulkaedah 1430H, Nilam Puri.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan