Rabu, 24 Mac 2010

Ghulamud Da'wah

Oleh : Ibnu Ghazali

Bismillahir Rahmanir Rahim

Barangkali ramai yang sudah biasa dengar tajuk post kali ini. Biarlah, niat di hati kecil ingin menceritakan kembali kisah ini sebagai renungan, peringatan kepada diri yang selalu alpa dengan kehendak agama.


Gambar tiada kaitan dengan topik ; anak buah penulis


Buat kali kedua saya mendengar kisah ini yang dibahaskan secara mendalam oleh Ustaz Tengku, mungkin sudah banyak kali mendengarnya cuma tanpa perincian. Kali pertama mendengar cerita ini sewaktu sesi bedah buku dalam program KONSIS, dalam tahun 2008 mungkin.


Kali ini, Ustaz Tengku menghuraikan kisah ghulamud da’wah disertakan huraian ayat daripada Surah al-Buruj. Pandangan alam mengenai kisah ini semakin jelas dan semakin kufahami mesej yang ingin disampaikan inshaAllah.


Di sini saya akan ceritakan serba sedikit kisah yang bermakna ini untuk bacaan sahabat yang tidak berpeluang mendengar kisahnya, “bagi yang sudah mendengarnya anggap ini sebagai ulangkaji”. Ustaz Haris seringkali mengulangi ayat ini sewaktu beliau menyampaikan kuliah Hadis 40 Imam Nawawi masa zaman sekolah dulu.
Ghulam merupakan seorang budak kecil yang hidup pada zaman kekufuran Raja di Negara Najran (beragama Yahudi). Pada zaman itu ilmu sihir amat popular dalam masyarakat dan raja telah menyediakan tempat khas di istananya bersama ahlinya untuk diajarkan ilmu tersebut kepada orang yang berkehendak.


Budak kecil tadi berminat untuk belajar ilmu sihir dengan tukang sihir upahan raja tadi. Dia meneruskan hajatnya dengan berkunjung ke istana raja. Dalam perjalanan menuju istana, ghulam mendapat tahu ada seorang rahib yang mengajarkan suatu ilmu yang mampu menarik orang ramai.


Budak kecil tadi singgahlah di rumah si rahib dengan perasaan ingin tahu. Dia telah mencuri masa untuk belajar dengan tukang sihir dan sesampainya di istana, ghulam didenda oleh gurunya kerana lewat. Setelah selesai sesi belajar, ghulam pulang ke rumahnya. Sekali lagi ghulam didenda oleh ibunya kerana lewat pulang ke rumah. Dia menerima hukuman tanpa memberikan sebarang alasan. Dipendekkan cerita, ghulam mengadu hal ini kepada rahib dan takut untuk meneruskan pengajian dengannya.


Namun, rahib tadi memberikan cadangan jalan penyelesaian kepada ghulam.
Seperti sebelumnya, ghulam sampai lewat di istana dan dia tidak risau pada kali ini. Beliau beralasan banyak tugasan di rumah yang perlu diselesaikan dan ibunya tidak mahu melepaskannya selagi mana tidak selesai kerja. Alasan ghulam diterima oleh tukang sihir.


Selepas tamat belajar, ghulam pulang ke rumah. Kali ini juga lewat tapi dia tidak takut kerana yakin dengan alasannya dengan menyatakan tukang sihir memanjangkan sesi pembelajaran dan dia tidak dapat pulang awal. Nampaknya penyelesaian yang disyorkan oleh rahib merungkai masalah ghulam.


Dalam masa yang sama, ghulam menerima kedua-dua ilmu yang diajar oleh rahib dan tukang sihir. Kecenderungan dia kepada ilmu yang diajar oleh rahib mengatasi ilmu sihir yang diterimanya kerana di sini dia mengenali Tuhan sebenar dan agama Islam.

Selain ilmu agama ini, ghulam memiliki suatu kelebihan (ilmu perubatan) untuk mengubat orang.

Kehebatan ahli-ahli sihir pada waktu itu tergugat setelah ghulam mampu mengubati penyakit sopak (kusta), sedangkan mereka masih tidak mampu. Berita ini sampai ke telinga raja yang mengaku dirinya tuhan. Ghulam dihadapkan ke istana dan disoal. Waktu inilah segala rahsia terbongkar ; ghulam sudah menganut agama samawi yang diajarkan oleh rahib. Tuhannya adalah Satu Allah.


Raja mengugut untuk membunuh ghulam jika dia tidak tukar ke agama asalnya. Dengan cara hantar ke bukit, laut semuanya tidak berhasil membunuh ghulam sedangkan kesemua askar raja mati dalam misi membunuh ghulam.


Akhirnya ghulam kembali ke istana dan memberitahu raja yang dia boleh dibunuh hanya dengan izin Tuhannya. Ghulam memberikan anak panah kepada raja dan meminta untuk dia dibunuh tetapi bersyarat. Syarat yang dikenakan oleh ghulam adalah : Sewaktu raja ingin melepaskan panah ke arah ghulam, hendaklah dia menyebut “dengan nama Tuhan ghulam aku bunuhnya”!


Akhirnya peristiwa pembunuhan ini berlaku setelah raja bersetuju. Ianya disaksikan oleh orang ramai. Maka, dengan izin Allah matilah ghulam di tangan raja yang kufur.
Peritiwa tadi menyebabkan orang ramai yang hadir beriman kepada Allah dan iman mereka amat teguh.


Raja tadi telah mengarahkan parit digali untuk menghumban orang-orang yang telah berpaling darinya. Sesiapa yang mengaku beriman dengan Tuhan ghulam akan dicampak ke dalam parit dan dibakar hidup-hidup.


Gambar sekadar hiasan, tiada kaitan dengan cerita




Inilah kisah ashabul ukhdud yang berkisar ghulamud da’wah.


Beberapa pengajaran yang penulis ingin sampaikan :

1. Dalam mencari kebenaran, perlulah menyerahkan hal kepada Allah SWT dengan meminta hidayahNya. Kita dapat lihat apabila ghulam berada dalam persimpangan untuk memilih ajaran mana betul yang disampaikan oleh ahli sihir dan rahib. Berkat penyerahan kepada Tuhannya, dia mendapat kecenderungan hati untuk mengikut ajaran yang dibawa oleh rahib.

2. Pengorbanan yang tinggi diperlukan dalam menyampaikan ajaran Islam (dakwah) kepada orang lain. Ghulam sanggup menyerahkan nyawanya dengan izin Allah, hasilnya ramai yang beriman kepada Allah.


3. Konsep tipu helah dalam agama. Konsep ini turut dipraktikkan dalam perang dan ianya berbeza dengan bohong. Ghulam berhelah sewaktu tiba lewat di istana dan rumahnya.

4 ulasan:

  1. na'am.Moga kta ambil ibrah dari kisah ni

    BalasPadam
  2. assalamualaikum
    boleh sy tahu,ape itu konsep tipu helah dalam agama?

    BalasPadam
  3. wa'alaikumussalam
    terima kasih pada wafa ats pertanyaan.
    sya bukannya arif utk mnjawab psoalan ini,skadar ingin berkongsi apa yg pernah saya dpat;
    ada beberapa situasi yg membolehkan untuk helah.contoh yg diberi dalam artikel di atas ketika waktu perang.kaum muslimin dibenarkan utk berhelah dalam menandingi strategi musuh.contoh:sorang muslim menyamar org biasa menyelinap ke puak musuh utk mndapatkan maklumat,dalam masa yg sama dia berbohong tntang status dirinya..bohong inilah yg dimaksudkan helah.jika ragu2,elok rujuk pd ustaz.
    wallahu'alam..

    BalasPadam