Jumaat, 5 Mac 2010

Ingat ke Kita Pada Tarikh 3 Mac 1924 ?

Sultan Abdul Hameed II & Kejatuhan Khilafah Islam


Oleh : Ibnu Ghazali

Diedit daripada Artikel Sultan Abdul Hameed Kedua & Kejatuhan Khilafah Islamiyah ; Muqaddimah & Cabaran

Muqaddimah

Sultan Abdul Hamid II telah dilahirkan pada hari Rabu, 21 September 1842. Beliau meninggal dunia dalam tahun 1918. Nama penuh beliau adalah Abdul Hamid Khan II bin Abdul Majid Khan. Beliau adalah anak kedua kepada Sultan Abdul Majid I (daripada isteri keduanya). Ibunya meninggal dunia semasa beliau berusia tujuh tahun. Abdul Hamid II boleh berbahasa Turki, Arab dan Farsi di samping mengetahui bahasa Perancis. Beliau telah mempelajari beberapa buah buku kesusasteraan dan puisi. Semasa bapanya, Abdul Majid meninggal dunia, bapa saudaranya Abdul Aziz menjadi khalifah. Abdul Aziz tidak kekal lama dalam jawatan Khalifah. Dia dipaksa berhenti daripada jawatan dan selepas itu dibunuh oleh musuh politik Uthmaniah. Penggantinya adalah Sultan Murad, anak kepada Sultan Abdul Aziz tetapi beliau juga disingkirkan daripada jawatan dalam masa yang singkat kerana tidak layak.



Khalifah Sultan Abdul Hamid II

Pada 31 Ogos 1876 (1293H0, Sultan Abdul Hamid II dilantik menjadi Khalifah menggantikan abangnya, Murad V. Ummat memberikan baiah dan ketaatan kepadanya. Pada masa itu, beliau berumur 34 tahun. Dari tahun 1877 hinggalah ke tahun akhir beliau memerintah iaitu 1909, beliau menetap di Istana Yildiz. Abdul Hamid II menyedari seperti beliau jelaskan dalam diarinya tentang pembunuhan bapa saudaranya dan pertukaran kepimpinan yang kerap adalah disebabkan adanya komplot menentang Daulah Islamiyah.



Para sejarawan gemar mengkaji tentang perwatakan Abdul Hamid. Beliau telah diberikan jawatan kepimpinan sebuah negara besar yang berada dalam keadaan tegang dan genting. Beliau telah menghabiskan masa lebih daripada tiga puluh tahun dengan komplot dalaman dan luaran, peperangan, revolusi dan perubahan-perubahan yang berterusan. Abdul Hamid II meluahkan perasaannya dalam hasil karya dan sajaknya.1

Pelbagai Cabaran yang Dihadapinya

Masalah pertama yang dihadapi Abdul Hamid II adalah Midhat Pasha (1822-1885). Terdapat dakwaan bahawa Midhat adalah daripada kaum Yahudi Dunnama, sama seperti Mustafa Kamal Ataturk. Midhat Pasha telah terlibat secara rahsia dalam penyingkiran bapa saudara Abdul Hamid II, Abdul Aziz. Tidak lama selepas dilantik sebagai Khalifah, Abdul Hamid diberi kuasa dan beliau telah melantik Midhat Pasha sebagai Ketua Majlis Menteri kerana Midhat Pasha amat terkenal pada masa itu. Midhat Pasha adalah gabenor yang cekap tetapi keras kepala orangnya. Midhat juga merupkan seorang Dunnama anggota Freemason (
Inthilaq, Mei 1994).

Sultan Abdul Aziz telah menjadi Khalifah dari tahun 1861 hingga 1876. Empat hari selepas beliau disingkirkan, beliau meninggal dunia. Para sejarawan pasti bahawa beliau syahid disebabkan angkara golongan 'Turki Muda' yang telah berkumpul sebelum itu untuk membunuhnya dan kemudian membohongi rakyat dengan mengatakan beliau telah membunuh diri. Ketika pemerintahan Abdul Aziz, banyak kemajuan telah dicapai. Pasukan tentera Khilafah Uthmaniyah membuat persiapan dengan segera untuk menjadi pasukan yang ke-3 terkuat di dunia pada masa itu dan kekuatan tentera darat pula diperkuatkan hingga mencapai 700,000 tentera. Tentera Khilafah Uthmaniyah dilengkapi dengan sekolah persediaan peperangan ofensif dan defensif.


Sultan Abdul Aziz juga telah melawat Mesir, Perancis, Britain dan Prussia. Tujuan kunjungan ke Eropah ialah untuk mempengaruhi Perancis supaya berpihak kepada Daulah Usmaniyah dan supaya Perancis tidak berpihak kepada Rusia dan juga bertujuan untuk menghimpunkan negara-negara Eropah untuk menentang Rusia. Pada zamannya juga terbit ‘majalah al-ahkam al-adaliyah” yang dikelolakan oleh Ahmad Jaudat Pasha dan juga dibukanya Terusan Suez. (Sahwatu Al-Rajulal Marredh Au Al-Sultan Abdul Hameed (Kebangkitan Orang Sakit) oleh Dr. Mouaffaq Bany Al-Marjeh)

Tidak lama kemudian, Britain mengusulkan diadakan persidangan di Istanbul yang dihadiri oleh para duta kuasa-kuasa besar dengan tujuan untuk mewujudkan ‘perdamaian’ di rantau Balkan dengan memperkenalkan beberapa cadangan baru . Persidangan itu telah memaksa Khilafah Uthmaniyah untuk melaksanakan beberapa reformasi. Maka, Midhat Pasha telah menjalankan reformasi-reformasi domestik tersebut. Beliau mewujudkan sebuah jawatankuasa yang terdiri daripada 16 orang pegawai awam, 10 orang ulamak dan 2 orang pegawai tentera berpangkat tinggi. Beliau mempertanggungjawabkan kepada jawatankuasa itu tugas untuk merangka perlembagaan negara. Setelah mengharungi pelbagai masalah, jawatankuasa itu akhirnya meluluskan draf perlembagaan yang mendapat inspirasi dari perlembagaan negara Belgium. Ia dikuatkuasakan di bawah tajuk Qanun Assas (iaitu Undang-undang asas) pada 23 Disember.


Maka, ia menjadi perlembagaan rasmi negara iaitu perlembagaan negara Belgium dan dengan memberi pertimbangan terhadap beberapa aspek Islam, ia menjadi perlembagaan negara Islam.
Pengisytiharan perintah khas diraja mengenai Qanun Asasi itu dilakukan dalam tahun 1876. Suatu perhimpunan diadakan pada petang hari pengisytiharan itu di kediaman Midhat Pasha bukan untuk membincangkan tentang urusan negara tetapi untuk berpesta minum arak dan mereka yang menghadiri pesta itu membuat bising akibat mabuk. Midhat Pasha juga dalam kemabukan dan beliau memang dikenali sejak zaman mudanya lagi sudah lazim minum arak.(halaman 58, Sahwatu Al-Rajulal Marredh Au Al-Sultan Abdul Hameed (Kebangkitan Orang Sakit) oleh Dr. Mouaffaq Bany Al-Marjeh)


Oleh kerana perlembagaan itu dikira sebagai sistem demokrasi iaitu undang-undang kufur dan sebagai sistem demokrasi yang bercanggah dengan Islam dan oleh kerana undang-undang itu sendiri bertentangan dengan Islam, jika ia dilaksanakan, pelaksanaannya bermakna penghapusan sistem Khilafah dan bererti mewujudkan sebuah negara yang serupa dengan negara Eropah lain seperti Belgium yang mempunyai perlembagaan yang menjadi sumber perlembagaan. Maka, perlembagaan itu tidak dilaksanakan dan Abdul Hamid, para ulamak serta tokoh-tokoh Islam yang lain menentangnya. Khilafah mula mengelak dari melaksanakan perlembagaan itu dan mengelak dari memenuhi desakan kuasa-kuasa besar. (Kaifa Hudimat Khilafah, Abdul Qadim Zallum)


Midhat telah disokong oleh golongan yang berpengaruh dalam Majlis Syura. Dengan bantuan golongan ini, dia telah berjaya meluluskan resolusi untuk berperang menentang Russia. Abdul Hamid tidak dapat menghalang mereka. Sekiranya dia cuba menentang mereka, dia mungkin akan disingkirkan tetapi mereka masih mahu menyalahkan Abdul Hamid terhadap semua kekalahan disebabkan daripada peperangan tersebut yang tidak dirancang dengan baik. Abdul Hamid tidak menginginkan peperangan pada masa tersebut. Daulah Islamiah sangat tenat untuk terlibat dalam peperangan. Abdul Hamid juga dapat mengesan tipu helah dan permusuhan Britain. Beliau juga mendapati bahawa Britain telah menghubungi pegawai-pegawai Khilafah. Midhat Pasha sering berurusan dengan Britain dan beliau adalah orang yang mendalangi dasar untuk bergantung kepada negara-negara Barat.


Konsul British di Beirut menghantar telegram ke London pada 28 Julai 1880 mengatakan, “Risalah-risalah pemberontakan telah tersebar, Midhat Pasha didakwa menjadi puncanya, sementara itu keadaan masih tenang, laporan terperinci akan diposkan”.

Kuasa-kuasa besar khasnya Britain berusaha gigih untuk menghancurkan Khilafah dan mereka berusaha untuk mempastikan pelaksanaan perlembagaan sekular yang didrafkan oleh Midhat Pasha. (Kaifa Hudimat Khilafah, Abdul Qadim Zallum) .Abdul Hamid menggunakan pertelingkahan di antaranya dengan Midhat Pasha untuk mengurangkan populariti Midhat Pasha. Akhirnya dia berjaya melepaskan dirinya daripada belenggu Midhat. Midhat dibicarakan di sebuah taman dalam Istana Yildiz dalam tahun 1881. Beliau telah didakwah kerana mengatur pembunuhan Sultan Abdul Aziz. Ibu Sultan Abdul Aziz turut menjadi saksi dalam perbicaraan itu. Akhirnya, Midhat didapati bersalah dan dipecat dalam bulan Februari 1877. Midhat telah dibuang negeri ke Eropah. Ada sumber yang mengatakan beliau dibuang negeri ke Taif, di selatan Makkah. Rakyat dan ahli politik menyambut baik langkah itu.


Seterusnya Abdul Hamid mengalihkan perhatian terhadap musuh luar negara Daulah Islam Uthmaniah. Melalui kebijaksanaannya, dia telah mampu meramalkan bahawa revolusi komunis akan berlaku di Rusia dan ia akan membuatkan Rusia lebih kuat dan lebih merbahaya. Pada masa itu rantau Balkan yang merupakan sebahagian daripada Daulah Islam Uthmaniah sedang berhadapan dengan dua bahaya iaitu Rusia dan Austria. Abdul Hamid cuba untuk membangkitkan penduduk rantau Balkan dan menyedarkan mereka tentang bahaya yang bakal dihadapi. Dia hampir berjaya membuat perjanjian dengan negeri-negeri Balkan tetapi bila perjanjian mencapai peringkat akhir, empat buah negeri Balkan mengambil keputusan yang berasingan dan mengenepikan Daulah Islam Uthmaniah. Perubahan ini adalah disebabkan pengaruh Barat dan Russia . Dengan bantuan kewangan Barat, dalam tahun 1878 rantau Balkan mendapat ‘kemerdekaan’ (Daulah Islamiyah, Taqiyuddin an-Nabahani).


Abdul Hamid menyedari bahawa komplot untuk memusnahkan Negara Islam Uthmaniah lebih besar daripada yang disangkakan. Ia melibatkan usaha dari dalam dan dari luar Negara Islam. Pada sangkaannya beliau berjaya menghapuskan sepenuhnya ancaman dari dalam selepas menyingkirkan Midhat Pasha dan orang-orangnya tetapi dia berhadapan pula dengan Awni Pasha, Ketua Majlis Para Menteri (Alsadr Alazam ) dan juga salah seorang Ketua Tentera. Kemudian Abdul Hameed mendapati bahawa Awni Pasha mengambil wang dan hadiah daripada Britain dan terlibat dalam penyingkiran Abdul Aziz (bapa saudara Abdul Hamid) telah didedahkan kepada Abdul Hamid.


Awni Pasha cuba mengheret Daulah Islam Uthmaniah ke dalam kancah perang Bosnia tanpa persetujuan Abdul Hamid. Abdul Hamid mengetahui jika peperangan berlaku, Rusia, England, Austria, Hungari, Serbia Montenegro, Itali dan Perancis akan menyerang kerajaan Uthmaniah secara serentak dan memastikan Bosnia dirampas.


Awni Pasha telah memberi maklumat yang salah kepada Abdul Hamid mengenai saiz tentera Uthmaniah di Bosnia. Dia mendakwa bahawa terdapat 200,000 orang askar yang bersiap sedia tetapi apabila Abdul Hamid meminta penjelasan daripada Jeneral yang lain dan mendapati hanya ada 30,000 orang askar, untuk menghadapi lebih 300,000 orang askar musuh. Pada masa itu, rakyat menyukai Awni dan Abdul Hamid tidak boleh menyingkirkannya daripada jawatan kerana itu akan membahayakan kestabilan dalaman Daulah Islamiah.
Kuasa-kuasa Barat, menyedari bahawa mereka mempunyai kekuatan yang melebihi Khilafah Uthmaniah dengan sokongan daripada empat buah negara Balkan (Romania, Serbia, Montenegro,Austria-Hungari). Akibatnya, Bosnia dan Greek terlepas dan terpisah daripada Daulah Islam Uthmaniah.


Abdul Hamid mendedahkan kesalahan Awni Pasha dan menyingkirkannya. Ummah menerima langkah ini. Mahkamah mendapati bahawa Awni bersalah terhadap dakwaan-dakwaan di dalam komplot menentang Daulah Islam Uthmaniah dan membantu kuasa luar seperti England.


1. Qasidah Ya Sayyidi Ya Rasulullah yang dikarang oleh Sultan Abdul Hamid II,
Bekal Akhirat : Syeikh Fahmi Zamzam al-Banjari an-Nadwi al-Maliki, ms 102.

****************************
يا سيدي يا رسول الله خذ بيدي
ما لي سواك ولا ألوي على أحد
فأنت نور الهدى في كل كائنة
وأنت سر الندى يا خير معتمد
وأنت حقا غياث الخلق أجمعينا
وأنت هادي الورى لله ذي السدد
************************





Tiada ulasan:

Catat Ulasan