Ahad, 24 Oktober 2010

PAS Calonkan Dr Zulkefli Mohamad Sebagai Calon Di Galas

PAS Calonkan Dr Zulkefli Mohamad Sebagai Calon Di Galas GUA MUSANG, 22 Okt (Bernama) -- Pengamal perubatan yang juga Pemangku Yang Dipertua PAS Kawasan Gua Musang, Dr Zulkefli Mohamad dipilih sebagai calon parti itu untuk bertanding dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan Galas 4 Nov ini. 


Pengumuman nama calon itu dibuat oleh Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang juga Menteri Besar Kelantan, pada ceramah perdana sempena 20 tahun pemerintahan Islam di Kelantan kira-kira 12 tengah malam ini di Dataran Ilmu Gua Musang. 


Barisan Nasional akan mengumumkan nama calonnya untuk bertanding dalam pilihan raya kecil itu Ahad ini. 


Dr Zulkefli, 44, yang memiliki sebuah klinik di Ciku, Gua Musang, merupakan anak bekas Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Guchil, Mohamed Awang pada tahun 1974 dan merupakan anak ketujuh daripada 10 beradik. 


Beliau pernah kalah kepada Tengku Razaleigh Hamzah ketika bertanding merebut kerusi Parlimen Gua Musang dalam pilihan raya umum 2008, dengan majoriti 4,394 undi. 


Kekalahan itu merupakan kali kedua beliau tewas kepada Tengku Razaleigh dalam pilihan raya umum bagi kerusi Parlimen Gua Musang. 


Pilihan raya kecil DUN Galas diadakan berikutan kematian penyandangnya Chek Hashim Sulaima, 46, daripada PAS, yang meninggal dunia akibat kanser usus pada 27 Sept lalu. 


Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya, 11,553 pengundi layak untuk mengundi dalam pilihan raya kecil itu iaitu Melayu 7,125 orang atau 61.7 peratus, kaum Cina 2,317 atau 20.06 peratus, India 185, Bumiputera Siam 10 orang dan Orang Asli 1,889 orang. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan