Khamis, 11 November 2010

Barack Obama dan Dunia Islam

Tatkala keputusan Pilihanraya Presiden Amerika Syarikat (AS) diumumkan baru-baru ini yang menggandingkan calon John MacCain dari Parti Republikan dengan Barack Obama dari Parti Demokrat, semua orang terpesona dengan keputusan tersebut. Mana tidaknya, buat pertama kali dalam sejarah Pilihanraya Presiden AS kerusi Presiden dimenangi oleh warga AS berketurunan kulit hitam. 


Selama ini, rakyat AS masih memainkan isu perkauman khususnya dalam melantik pemimpin mereka walaupun dasar Aperteid telah lama dihapuskan. Namun, setelah keputusan pilihanraya ini diumumkan, isu ini tidak ditimbulkan lagi kerana bagi warga AS sendiri terdapat beberapa isu yang lebih utama perlu dibangkitkan dan diperjuangkan apabila melihat banyak kelemahan sepanjang tujuh tahun negara Amerika diteraju oleh George W.Bush. 



Antara isu yang disuarakan adalah keganasan, ekonomi global, kemiskinan, perang Iraq dan hak asasi manusia. Dengan pengumuman keputusan pilihanraya ini, jelas menunjukkan rakyat AS menginginkan perubahan yang akan dibawa oleh calon presiden. Dari awal kempen pilihanraya hingga tarikh kemuncak, sokongan lebih memihak kepada Obama kerana calon muda ini merupakan senator Illinois dan calon daripada Parti Demokrat dilihat sebagai berkarisma serta mampu untuk membawa perubahan kepada Amerika dan dunia umumnya. 



Barack Obama mendahului pesaingnya daripada Parti Republikan yang merupakan rakan perjuangan George W.Bush dalam meraih undi penduduk Negara yang kononnya sebagai ‘polis dunia’ ini. Penduduk beberapa Negara lain juga menyokong Barack Obama sebagai Presiden baru AS. Jika dilihat di Indonesia , Negara tempat Obama pernah menetap dan bersekolah, penduduknya begitu ‘ghairah’ menyokong Obama dengan manggantung sepanduk yang tertera wajah calon presiden AS, Obama beserta kata-kata semangat di segenap kawasan. Ramai yang menyokong Obama disebabkan beliau lantang di dalam pidatonya yang ingin membawa perubahan dalam demokrasi AS dan polisi luar AS. Persoalannya, adakah Barack Hussein Obama mampu untuk membawa perubahan ini atau beliau akan menerima nasib yang sama seperti F.Kennedy? 



Bagi kaum Muslimin, persoalan ini amat penting dalam menentukan masa depan Negara Islam khususnya Timur Tengah dan tidak terlepas Malaysia kerana AS adalah Negara kuasa besar yang sentiasa mencari kepentingan di Negara Islam ini. Cabang bagi merungkai persoalan ini adalah perlu secara jelas dengan mengkaji dan menyelidik latar belakang Barack Hussein Obama. Adakah beliau Islam? Mengenai identiti agama Obama, banyak teka-teki yang timbul dalam menentukan sama ada beliau Muslim atau Kristian atau ateis. 



Secara ringkasnya dapat diceritakan di sini berkenaan latar belakang Obama. Barack Hussein Obama nama penuhnya lahir di Hawaii, bapanya Barack Hussein Obama Sr. lelaki kulit hitam berasal dari Kenya dan ibunya Shirley Ann Dunham wanita kulit putih berasal dari Kansas, AS. Di sini dimaklumkan bahawa ayah beliau beragama Islam namun tidak mangamalkan ajaran Islam kerana agama yang dianutinya adalah agama keturunan keluarganya. Manakala ibunya pula merupakan ateis yang tidak pernah menganut mana-mana agama. Ketika Obama berumur dua tahun, ibu bapanya berpisah dan Obama dengan ibunya berpindah ke Indonesia. Sebelum berpindah ke Indonesia, ibunya telah berkahwin dengan Lolo Soetoro, seorang Muslim Indonesia. 



Di Indonesialah, Obama mula bergaul dengan orang Islam dan kebetulan ayah tirinya merupakan Muslim. Namun, timbul kecelaruan di sini dimana ayah tirinya merupakan individu Muslim tetapi ibunya tetap berpegang dengan fahaman yang tidak beragama. Adakah ayah tirinya merupakan Muslim yang mengamalkan Islam Liberal? Ayah tirinya meninggal dunia dalam kemalangan dan Obama membesar di Hawaii bersama ibu dan datuknya. Setelah Obama menamatkan pendidikan di Harvard Law School dan Columbia University, beliau berkhidmat di Chicago dan mula berkecimpung dalam bidang politik. 



Jika dilihat secara kasar, Obama membesar dalam lingkungan masyarakat Islam dan tidak mustahil jika beliau merupakan Muslim. Pesaing Obama mengambil kesempatan atas pengalaman hidup beliau menyatakan Obama seorang Muslim, tambahan pula nama tengah beliau ‘Hussein’ sinonim dengam agama Islam dan mirip dengan nama bekas ‘diktator’ Iraq Saddam Hussein. Hal ini sedikit sebanyak memberi impak kepada semua kerana agama Islam telah dicop sebagai agama yang menganjurkan keganasan ekoran tragedi 16 September 2001. Walaubagaimanapun, Obama dengan tegas menafikan beliau seorang Muslim dan menyatakan beliau beragama Kristian. Memang benar bapa kandung dan bapa tirinya menganut agama Islam tetapi tidak bermakna beliau seorang Muslim, tambahan pula beliau tidak pernah mengamalkan ajaran Islam sepanjang hidupnya. Ibunya banyak mengajar nilai-nilai kemanusiaan dan tidak pernah mengajarkan ajaran mana-mana agama. Kata Barack Hussein Obama setiap kali beliau diajukan persoalan berkenaan status agamanya. 



Dalam polisi luar AS yang ingin diperjuangkan oleh Obama, banyak hal yang berkaitan dengan dunia Islam seperti isu pengunduran askar-askar AS dari Negara Iraq. Bagi Obama, tindakan yang dilakukan Bush selama ini banyak membazir tenaga dan duit. Perang bukan merupakan jalan terbaik bagi menyelesaikan masalah menurut pandangan tokoh politik ini. Beliau sedia untuk berbincang dengan pemimpin-pemimpin Negara Teluk bagi menyelesaikan kemelut ini. Jika benar Obama ingin membawa perubahan dalam polisi luar AS, adakah orang di bawahnya berfikiran sedemikian? Jika beliau tidak mampu untuk melaksanakan dasar yang dinyatakan, beliau ibarat mengundang musuh masuk ke dalam rumah. Begitu juga dengan isu sokongan AS terhadap Israel dalam merampas hak penduduk Palestin dan tanah suci umat Islam. 



Di sini, timbul juga kekeliruan sama ada Obama anti-Israel ataupun pro-Israel. Memang dalam dasar ini dilihat Obama anti-Israel tetapi dalam isu lain beliau dilihat lebih memihak kepada Israel, tambahan pula kaum Yahudi merupakan pelobi bagi parti yang diwakili Obama Parti Demokrat. Namun, banyak hujah menyatakan Obama adalah anti-Israel. Antaranya, beliau merupakan anggota jemaah United Church of Christ dan mempunyai mentor yang mengencam hebat agenda kaum Yahudi. Keduanya, kalangan penasihat hubungan luar Negara beliau majoriti anti-Israel. Hal ini dilihat memberikan kelebihan secara tidak langsung kepada orang Islam sekiranya Obama mampu melaksanakan dasar-dasar luar tersebut. 



Jadi, perlukah kita kaum Muslimin meyakini Barack Hussein Obama mampu untuk membawa perubahan kepada dunia Islam? Adakah dasar yang dibawa di dalam kempen Pilihanraya Presiden AS merupakan kesungguhan beliau untuk membawa perubahan kepada AS atau hanya retorik politik semata-mata bagi meraih simpati? Kita hanya mampu melihat semua ini berhasil ataupun tidak apabila tampuk pemerintahan Presiden AS mula beralih kuasa daripada George W.Bush kepada Barack Hussein Obama pada awal Januari 2009 ini. 

~Ibnu Ghazali~
3 Januari 2009 
Pusat Asasi UiAM, Petaling Jaya 



p/s : Video di bawah adalah rakaman pidato Obama di Universiti Indonesia sempena lawatannya ke negara itu baru-baru ini (November 2010).


Tiada ulasan:

Catat Ulasan