BismIllahirRahmanirRahim
Pada 22 Disember 2010,
rombongan Angkatan Belia Islam (ABIM) Kelantan, Persatuan Pembimbing
Pelajar Islam Kelantan (PPIK) dan Briged Bakti Malaysia (Kelantan) telah
mengadakan Kembara Amal Belia ke Negara Thailand. Tujuan utama kembara
diadakan ialah untuk mengukuhkan 'ukhuwah' antara peserta
rombongan dan mengeratkan silaturahim dengan saudara di Selatan Thailand
meliputi tiga wilayah ; Takbai (Narathiwat), Pattani dan Yala. Selain
itu, siri kembara kali ini juga bertujuan melatih kepimpinan dalam
mengurus organisasi.
Rombongan diketuai oleh
al-Fadhil Ustaz Mohd Faisal Abdullah (Yang DiPertua ABIM Kelantan),
barisan Exco ABIM Kelantan ; Akh Abdul Hafeez Abdullah (Setiausaha),
Ustaz Mohammad Amin Abdullah (Dakwah & Tarbiyah), Akh Mohd Syafiq
Mohd Yaacob (Tugas-tugas Khas) & Akh Mohd Noor Alami Salleh
(Pembangunan Sosial), Exco PPIK ; Akh Mohd Syahiran Mohamad (Timbalan
YDP) & Akh Mohd Zul Amin Ghazali dan ahli Briged Bakti ; Akh
Mohamad Arif Azam Mat Yunus & Akh Mohd Fikree Rosli.
Kami
bertolak dari Kota Bharu pada jam 3.30 petang dan tiba di Kompleks
Imigresen Pengkalan Kubor pada jam 4.30 petang. Alhamdulillah, urusan
peserta rombongan untuk menyeberang ke negara jiran tidak mengalami
sebarang masalah bahkan dipermudahkan oleh Allah S.W.T. Usai mendapat
pengesahan keluar sempadan, kami menaiki bot tambang yang mengambil masa
lebih kurang lima minit sahaja menyeberang Sungai Golok untuk tiba di
pengkalan Tabal (Takbai), Thailand. Setelah urusan masuk ke Thailand selesai,
kami menaiki van yang disewa menuju ke Pattani.
Destinasi
pertama kami adalah Teluban (Saiburi) yang terletak di Wilayah Pattani. Rata-rata
kami yang pertama kali sampai ke Thailand ‘tergamam’ apabila melalui
sekatan jalan raya oleh pihak keselamatan sepanjang perjalanan dari
Takbai ke Pattani. Kami dimaklumkan sekatan hanya dilakukan di tiga
wilayah bergolak Selatan Thailand ; Takbai (Narathiwat), Pattani dan
Yala. Kononnya pihak berkuasa tempatan ingin menjaga keamanan di
ketiga-tiga wilayah ini yang majoriti penduduk beragama Islam. Jarang
sekali kelihatan orang Siam.
Tanah Patani Darussalam yang indah dan subur ; tidak mustahil kenapa penjajah Siam (Thailand) 'tak mahu melepaskannya hingga sekarang'
Dalam perjalanan, kami singgah solat Asar berjemaah di Masjid Wadi al-Husain,
Pattani. Masjid ini merupakan salah sebuah masjid tertua di Selatan
Thailand. Ianya berusia 300 tahun. Masjid Wadi al-Husain diberi nama
sempena pengasas Wan Husain. Apa yang menarik tentang masjid ini ialah
seni bina yang menggabungkan pengaruh budaya Jawa, Arab dan tempatan.
Masjid ini dibina tanpa menggunakan sebatang paku pun sebaliknya diganti
dengan tanggam kayu. Hampir sama dengan teknologi seni bina Masjid
Kampung Laut di Kelantan.
Penulis bergambar di hadapan tangga Masjid Wadi al-Husain
Tangga menuju ke tempat azan
Perjalanan
diteruskan dan kami selamat tiba di destinasi yang dituju pada lewat
petang. Kami disambut dengan mesra oleh tuan rumah, mesra dengan
panggilan Bang Lan. Betapa manisnya ikatan ukhuwah antara saudara
seaqidah walaupun tidak pernah bersua. Kami dilayan ibarat tetamu
kehormat yang bertandang ke istana raja. Jazakumullah khoiran jaza’. Sebelah malam, kami hanya berehat setelah seharian kepenatan.
"Selamat Datang ke Taluban"
Pada
hari kedua kembara, bermulalah misi kami. Usai solat Subuh berjemaah,
kami menziarahi sekitar pekan Taluban, pantai dan pasar segar. Nama
Teluban lebih mesra bagi masyarakat Muslim Pattani berbanding Saiburi.
Boleh anda bayangkan situasi penduduk di pasar Taluban yang sudah lali
dengan pihak berkuasa tempatan ; polis dan tentera berkawal di segenap
penjuru pekan. Namun, ianya lain bagi kami yang baru saja menjejakkan
kaki ke daerah bergolak ini. Terkejut pabila lihat beberapa buah kereta
perisai tentera berkonvoi dalam keriuhan penduduk sedang berurus niaga
di pasar pagi. Satu perspektif berbeza yang harus difahami dan diselami
oleh setiap orang yang punya visi dan misi dalam menyampaikan dakwah
Islamiah.
Misi diteruskan dengan ziarah mahabbah ke
Sekolah Tinggi Islam Darunsat Witya, Saiburi.
Kami didedahkan dengan sistem pembelajaran dan kondisi pelajar sekolah
swasta yang mendapat bantuan penuh daripada pihak Kerajaan Thailand.
Dari segi fizikal, kemudahan di sekolah ini tidak seberapa jika
dibandingkan dengan sekolah swasta di Negara kita. Walaupun mempunyai
pelajar sekitar 4,200 orang ; satu jumlah yang besar, namun sistem
pendidikan yang diguna pakai di Darunsat berjaya mengubah budaya
percampuran Siam dan Melayu. Budaya yang mengubah identiti bangsa
sebelum ini susah untuk dikenalpasti kerana cara pemakaian mahupun
pertuturan. Barangkali, sistem pembelajaran di sini boleh dijadikan
panduan dalam penambahbaikan sekolah-sekolah di Negara kita.
Maktabah
Konti radio 'Suara Darunsat'
Usai menziarahi Sekolah Tinggi Islam Darunsat Witya, kami bergerak ke Pattani dalam rangka ziarah ke Koperasi Muslim Ibnu Affan.
Ibnu Affan adalah antara koperasi terbesar dan berpengaruh dalam
masyarakat Islam dan bukan Islam di Selatan Thailand. Walaupun baru
berusia 18 tahun, Koperasi Ibnu Affan sudah berjaya melebarkan sayapnya
dengan pembukaan 8 cawangan di sekitar Pattani, Yala dan Narathiwat.
Kami disambut dengan mesra oleh kakitangan Koperasi. Rata-rata staf yang
berkhidmat di sana utuh dengan 'fikrah Islamiah'. Hal ini
jelas melalui layanan mereka kepada rombongan kami walaupun tidak pernah
bertemu dan berurusan sebelum ini. Kami sangat kagum dengan usaha
mereka ke arah mengembangkan jihad perniagaan dan urus niaga. Panel
syariah ditubuhkan untuk meneliti agar tiada unsur ‘gharar’ dan riba dalam urusan Koperasi Muslim Ibnu Affan.
Selain Koperasi Muslim Ibnu Affan,
Prince Songkla University
antara destinasi yang sempat kami lawat di Pattani. Kebetulan pada hari
kami di sana, diadakan Konferens Islam Antarabangsa yang dihadiri oleh
tokoh-tokoh agama dari pelbagai Negara. Destinasi kami selepas Pattani
adalah Yala. Kami berpeluang melawat Markaz Tabligh tersohor di Selatan
Thailand. Agak besar dan mempunyai kemudahan untuk orang ramai. Namun,
kami tidak berpeluang untuk singgah atas beberapa faktor. Seterusnya
kami menuju ke Bandar Yala.
Peserta kembara kagum dengan ‘biah solehah’
di Yala. Agak susah untuk terserampak dengan perempuan dan lelaki yang
mendedahkan aurat. Kami memanggil ‘Kedai Lama Yala’ sebagai Bandaraya
Islam. Dalam pemerhatian saya ; tidak cenderung pada mana-mana pihak,
menyimpulkan Bandar Yala lebih Islamik berbanding dengan Kelantan. Di
kesempatan yang kami ada, sempat juga kami memerhati apakah faktor yang
menyumbang kepada pembangunan sosial di sini. Kami ketemu jawapan
apabila melawat Maahad al-Bi’that ad-Diniah (Sekolah Hj
Harun). Jumlah pelajar di sekolah ini lebih kurang jumlah pelajar di
Sekolah Tinggi Islam Darunsat Witya, Saiburi. Sistem pendidikan sekolah
sekitar Yala telah berjaya menyumbang kepada pembangunan masyarakat yang
stabil dunia & akhirat, pada hemah kami.
Lain
pula situasi dan masyarakat di ‘Kedai Baru Yala’. Jalan kereta api
menjadi sempadan antara ‘Kedai Lama’ dan ‘Kedai Baru’. Jika di Kedai
Lama
‘sejuk mata' melihat masyarakatnya tapi berlainan di
Kedai Baru. Hal ini kerana ramai penghuni di sini berketurunan Siam dan
beragama Budha. Seterusnya kami bertolak menuju Hat Yai. Jarak
perjalanan Yala dan Hat Yai sekitar 160 kilometer. Kami tiba di Hat Yai
pada jam 10.oo malam. Alhamdulillah, dengan izin Allah S.W.T. kami dapat
menginap di bilik penginapan di tengah-tengah Bandar Hat Yai. Dek
kerana mata masih ‘segar’, pemandu membawa kami meronda sekitar Bandar
Hat Yai. Memang ‘syurga dunia’.
“Hat Yai tak boleh lawan Mesir",
komen Ustaz Faisal ketika kami minum malam di warung. Inilah realiti
yang harus kita semua bersedia dengan bekal yang cukup. Jika tidak,
silap haribulan kita juga akan terbabas. Na’uzubillah.
Selepas solat Subuh berjemaah di bilik penginapan, kami sempat
‘berusrah’ walaupun ruang agak terhad.
‘Maudu’
perbincangan pada pagi tersebut adalah pemerhatian dan pendapat
masing-masing yang dikutip sepanjang ‘pengembaraan’. Alhamdulillah,
banyak mutiara hikmah diperoleh. Tentatif berikutnya adalah melawat
Bandar Hat Yai. Berbeza di waktu malam yang masyarakat sibuk dengan
aktiviti sosial, waktu pagi pula mereka sibuk dengan aktiviti jual beli.
Sempat juga kami membeli buah tangan. Pagi ini, Bandar Hat Yai menjadi
saksi berlaku peristiwa-insiden beg yang tak akan dilupakan oleh
kami.
Tika tengahari kami berangkat ke destinasi terakhir Kembara Amal Belia 2010, Takbai. Kami sempat singgah solat di
Masjid Krisik.
Masjid yang menjadi saksi pertempuran antara penduduk kampung dan pihak
berkuasa Thailand. Dikhabarkan helikopter dihantar dan mendarat di
jalan raya ketika berlaku tragedi. Al-Fatihah buat mangsa korban. Kami
tiba di Asrama Anak Yatim Takbai (AYATA) pada jam 4.30 petang dan
disambut mesra oleh Ustaz Nawawi.
Di sini, kami meluang masa bersama adik-adik AYATA dalam mengisi Program Motivasi Kecemerlangan Pelajar AYATA.
Pada sebelah petang, kami sempat beramah mesra bersama
individu-individu terlibat. Sebelah malam pula, al-Fadhil Ustaz Faisal,
Ustaz Mohamad Amin, Akh Syahiran dan saya berpeluang bertemu dengan
pemuda ‘high risk’ Takbai. Ustaz Nawawi selaku ‘person in-charge’
memperkenalkan kami kepada mereka. Ustaz Nawawi bertindak sebagai wakil
AYATA dalam menjaga kebajikan pemuda-pemuda Takbai. Satu pengalaman
yang berharga. Usaha dan inisiatif oleh penduduk Islam Takbai dalam
membantu pemuda keluar daripada masalah, satu program dijalankan.
Program pemprosesan air minuman bersih yang mendapat bantuan daripada
pihak kerajaan. Di kesempatan ini, al-Fadhil Ustaz Faisal sempat
menasihati pemuda-pemuda Takbai yang masih berpeluang mengubah haluan
hidup ke arah lebih baik.
Dinihari, kami melaksanakan 'qiyamullail’
bersama penghuni AYATA yang dipimpin oleh Ustaz Mohamad Amin. Jumlah
pelajar terlibat dengan Program Motivasi Kecemerlangan Pelajar AYATA
seramai 27 orang ; 20 anak yatim & 7 fakir miskin. Berat mata
memandang, berat lagi bahu memikul. Pepatah yang menggambarkan keperitan
hidup penghuni AYATA. Sekali lihat raut wajah ceria adik-adik ini, kita
tidak akan sangka bermacam-macam pengalaman yang dialami jika tidak
mendengar cerita mereka. Ada yang melihat bapa sendiri ditembak di depan
mata dan bermacam-macam lagi. Kesempatan ini membuatkan kami bersyukur
dengan keamanan di Negara kita. Mudah-mudahan mereka tabah dan sabar
dalam menempuh ujian mendatang. Kami doakan kalian berjaya mengubah
nasib masing-masing dan mampu menyumbang kepada 'ummah'.
Setiap
peserta Kembara Amal Belia berpeluang mendekati dan menyumbang kepada
adik-adik AYATA melalui slot pengisian. Program Motivasi Kecemerlangan
Pelajar AYATA berakhir pada jam 3.00 petang dengan majlis penutup.
Terima kasih diucapkan kepada Ustaz Nawawi dan pihak yang terlibat dalam
membantu kami.
Misi empat hari tiga malam
berakhir dengan keberangkatan pulang kami dari Pengkalan Kubor ke Kota
Bharu. Syukur dipanjatkan kepada Allah S.W.T. kerana menganugerahkan
pengembaraan ini sebagai ‘tarbiyah’ buat kami.