Oleh : IbnuGhazali
Bismillahirrahmanirrahim…
Sambungan daripada artikel sebelum ini berkenaan misi di Pulau Perhentian. Panggilan telefon dari kampung menyahut aku untuk pulang. Kakak aku mengalami kemalangan jalan raya dinihari hari berkenaan. Hati ini mula gelisah memikirkan keadaan Cik Yah. Semua adik-beradik aku pulang ke kampung, yang bermastautin di Sabah pun turut pulang ’emergency’.
Aku tinggalkan adik-adik tanpa sebarang khabar berita. Sedih sebenarnya aku meninggalkan mereka tanpa memberitahu yang aku perlu bergegas pulang ke darat. Waktu itu mereka semua berada dalam kelas, kami (fasilitator) merancang untuk turut bersama mereka di dalam kelas.
Jamuan bersama guru-guru dan adik-adik
Namun, ini lah dikatakan ketetapan. Aku tidak sempat masuk ke kelas.
Alhamdulillah dengan bantuan sahabat-sahabat, aku dapat pulang ke kampung dengan kadar segera. Tiba di hospital Raja Perempuan Zainab II, Cik Yah masih berada dalam unit kecemasan. Aku dikhabarkan yang Cik Yah makin stabil. Alhamdulillah.
Aku mengambil masa untuk berfikir apakah hikmah di sebalik segala kejadian yang berlaku.
Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan hanya dengan mengatakan, “Kami telah beriman”, dan mereka tidak diuji?
( Surah Al-’Ankabut : 2 )
Bencana yang Allah timpakan kepada setiap hambaNya bukanlah sebagai bala semata-mata. Dia menguji setiap hambaNya yang beriman mengikut tahap keimanan masing-masing. Ada memperoleh ujian yang dahsyat, ada pula memperoleh ujian yang biasa-biasa. Semuanya merupakan sunnatullah.
Ramai di antara kita menganggap ujian hanyalah bencana atau kesusahan. Hakikatnya, kesenangan dan kekayaan merupakan ujian yang paling besar. Mukmin yang ikhlas amat takut sekali diuji dengan kesenangan kerana hal ini memudahkan kita untuk lupa kepada Yang Maha Esa.
Inilah yang aku risau sekali, adakah diri yang mempunyai iman lemah mampu menghadapi ujian, dugaan ini?
”Dan Kami pasti akan menguji kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan sampaikanlah khabar gembira kepada orang-orang sabar, (yaitu) orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka berkata ’Inna lillahi wa inna ilaihi rajiun’ (sesungguhnya kami milik Allah dan kepadaNyalah kami kembali)”
( Surah Al-Baqarah : 155-156 )
Semakin hari semakin jelas kelihatan hikmah di sebalik bencana yang Allah kurniakan kepada kami. Moga dengan ini menjadikan kami lebih bertaqwa kepadaNya.
Alhamdulillah keadaan Cik Yah kini makin pulih, walaupun masih tidak mampu untuk bangun disebabkan beberapa kecederaan pada kaki (disimen), tangan dan pinggang.
Namun, hati ini sebenarnya masih teringat akan adik-adik di pulau. Tambahan ada antara mereka menefon kepadaku bertanyakan khabar aku. Sayu sungguh hati ini. Aku berazam jika diberi peluang dan ruang sekali lagi untuk ke sana aku pasti pergi. InsyaAllah...
Wallahua’lam.
Menyantuni adik-adik sewaktu slot motivasi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan