Oleh : IbnuGhazali
Dewasa ini, kita lihat sudah banyak pihak yang berani mempertikaikan teras ataupun prinsip-prinsip dalam agama Islam iaitu yang berhubung dengan hukum-hakam. Pihak ini cenderung untuk merombak(reconstruct) dasar-dasar yang dipersetujui oleh ulama’ muktamar dalam menentukan ijtihad sejak sekian lama. Perkara ini umpama menjadi satu fenomena baru dalam masyarakat Islam untuk membentuk undang-undang baru dalam agama Islam terutama yang berkait dengan faraid, aurat wanita, poligami dan banyak lagi.
Sudah ramai pihak yang berani mempertikaikan hukum-hakam dalam Islam secara terbuka. Merujuk kepada Surat Pembaca (Majalah I, Bil.77 Mac 2009), PUMPP Selar Penganjuran Musawah. ”Persatuan Ulama’ Malaysia cawangan Pulau Pinang (PUMPP) dengan ini menyelar sekeras-kerasnya program Musawah iaitu Global Movement for Equality and Justice in the Muslim Family anjuran pendukung kuat fahaman sesat Islam Liberal di Malaysia iaitu Sisters in Islam (SIS). Pertemuan Musawah dilihat berhasrat mempertikaikan pelbagai prinsip-prinsip Islam khususnya dalam hukum syariat berkaitan wanita dan kekeluargaan yang dipersetujui oleh kesepakatan ulama’ muktabar”. Pertemuan ini diadakan di hotel mewah The Prince Hotel, Kuala Lumpur pada 13 Februari 2009 dan dihadiri oleh 200 Liberalis Muslim dari 40 buah negara.
Lihatlah, betapa bersungguhnya golongan Liberalis yang kononnya ingin memperjuangkan hak-hak kaum wanita yang selama ini didakwa tertindas dengan pelaksanaan hukum syariat Islam. Hakikatnya, jika diteliti betul-betul para pendokong kumpulan ini rata-rata daripada mereka berpendidikan barat yang mendewa-dewakan kemodenan Barat dan ingin membawa ’westernisasi’ dalam Islam. Mereka tidak mendalami bidang-bidang ilmu dalam Islam, alih-alih mengatakan syariat Islam tidak sesuai untuk dilaksanakan pada zaman sekarang. Sering kita dengar mereka mendakwa pengamalan Islami mengakibatkan kaum muslimin tidak dapat mencapai kemajuan seperti yang dikecapi Tamadun barat sekarang. Tidak dapat tidak, wabak ’Islam Liberal’ juga menyerang mentaliti ahli agama yang terpengaruh dan teruja dengan kemodenan Barat. Jika dilihat di Indonesia, virus pemikiran ini telah berluasa dalam kalangan tokoh-tokoh agama Islam. Apakah puncanya?
Kebanyakan daripada tokoh-tokoh agama yang mendapat pendidikan asas di Pesantren melanjutkan pengajian di negara Barat. Di negara Barat, mereka ditanam dengan doktrin sesat oleh tokoh-tokoh ’Islam Liberal’ yang mempunyai kemahiran dalam menyeleweng al-Quran dan hadis. Jadi tidak mustahil tokoh-tokoh agama ini menjadi pendokong dan penggerak dalam memperjuangkan pemahaman ’Islam Liberal’ seterusnya menyebarkan kerangka pemikiran tersebut di pesantren-pesantren dan tidak terlepas di pusat pengajian tinggi agama, Universitas Islam Indonesia umpamanya.
Kita tidak ingin melihat fenomena ini berkembang di negara kita kerana pemahaman sesat sebegini amat mudah mempengaruhi kaum Muslimin di Malaysia. Hal ini disebabkan kegoyahan akidah kaum Muslimin yang berpunca daripada kelemahan sistem pendidikan negara yang mengutamakan sistem pengajaran semata dengan mengabaikan nilai pendidikan yang benar.
Di belakang kumpulan ini masih terdapat banyak sekali kumpulan hingga mencapai tujuh puluh kumpulan lebih. Yang selamat hanya satu kumpulan, iaitu yang meneliti jalan Rasulullah S.A.W. dan para sahabatnya. Golongan inilah yang paling dicintai oleh Allah S.W.T. Konklusinya, perlulah kita mengimani dan berpegang teguh dengan manhaj yang haq iaitu Aqidah Ahli Sunnah wal Jama’ah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan