Isnin, 27 April 2009

Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2009

Oleh : IbnuGhazali

Semalam adalah hari terakhir Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur yang berlangsung sejak 17 April dan Jumaat lepas merupakan kali kedua dalam hidup aku menjejakkan kaki ke Putra World Trade Centre (PWTC), mercu kemegahan parti UMNO. Pertama kali aku ke sana ketika berumur berapa tahun entah (barangkali 10 tahun) yang mengikuti Cik Su aku ke ’PC Fair’. Waktu tersebut aku tidak tahu menahu karenah politik negara, yang aku tahu PAS sinonim dengan bulan purnama penuhnya, UMNO dengan keris keramatnya dan DAP dengan simbol roketnya. Hanya tiga komponen parti yang aku kenal sewaktu budak-budak.


Berbalik pada cerita yang ingin aku sampaikan, aku ke sana bukanlah untuk menghadiri Perhimpunan Agong UMNO (yang sama sekali aku tidak akan hadiri) tapi aku diberi ruang dan peluang oleh Allah Yang Maha Mengatur segalanya mengunjungi Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2009.


Aku berkesempatan singgah di sana dalam perjalanan pulang ke kampung dari selatan Tanah Air. Pesta Buku yang masih berbaki dua hari lagi sempat juga aku jenguk. Hampir seminggu berada di Johor atas urusan keluarga. Kesempatan berada di Skudai aku manfaatkan dengan menziarahi sahabat-sahabat lama yang menuntut di UTM. Mereka masih berperangai seperti dulu, teringat akan kenangan-kenangan sewaktu zaman sekolah dulu..haha..IPT yang gah dengan bidang kejuruteraan dan teknologi ini menjadi rebutan majoriti pelajar, tidak terlepas juga aku. Namun Allah Maha Mengatur segalanya, aku tidak ditempatkan di sana tapi ditempatkan di ’U’ lain yang mana banyak perkara aku belajar sepanjang tempoh yang telah tersurat di Luh Mahfuz.


Sepetang aku berada di PWTC. Kali ini aku tidak berteman, tidak seperti sebelum-sebelum ini yang mana tiap kali ada ’bookfair’, aku pasti mengajak teman-teman. Kali terakhir aku ke pesta buku beberapa bulan lepas di Perpustakaan Negara bersama sahabat-sahabat. Fazril dan Anuar, sahabat yang sama-sama mengharungi pahit gentir dalam perjuangan. Tidak dinafikan sebagai manusia yang terbentuk daripada elemen aqal, roh dan emosi akan tergelincir juga kadang-kadang kita ke pinggir yang tidak kita inginkan. Kadang-kadang emosi menguasai diri dalam perlakuan. Akan tetapi, kalianlah sahabat yang banyak mengajar aku. Ukhuwwah fillah kita tidak akan berakhir di medan perjuangan CFS sahaja.


Banyak betul ’booth’ yang mengisi ruang legar PWTC, dipenuhi pengunjung yang pelbagai ragam menghangatkan ’event’ ini. Aku mengatur ’plan’ dengan mengunjungi semua ’booth’ dahulu tanpa membeli apa-apa buku walaupun telah ada ’target’ buku yang ingin dibeli. Tapi tidak mampu untuk aku berkunjung ke semua gerai kerana tidak larat...haha..


Lantas aku terus mencari dan menuju ke gerai di mana aku yakin terdapat buku yang aku cari.


Aku lebih lama ’tumah’ (loghat negeri) di gerai Dewan Bahasa & Pustaka, Institut Terjemahan Negara, Majlis Penerbitan Ilmiah Malaysia (di mana menempatkan kesemua penerbit-penerbit buku universiti), Telaga Biru dan juga gerai Tok Guru.


Lari bajet juga bila sampai masa membeli. Buku yang aku nak ada yang jumpa dan ada juga tidak jumpa. Puas aku pusing mencari buku berkenaan ulama’-ulama’ Alam Melayu tapi tidak jumpa, ada tu memang ada tapi tidak ada yang mencatatkan secara ’detail’ pasal Tok Bachok.


Aku sekarang berusaha untuk mengenali lebih dalam berkenaan salasilah moyang aku dan menjejak waris-waris Tok Bachok yang suatu ketika dulu pernah menyumbang untuk ummat. Kalau diizinkan Allah aku ingin mewakafkan sedikit masa hidup ini untuk mengkaji secara serius salasilah keluarga besar Tok Bachok dan peranan beliau terhadap ummat dalam penyebaran ilmu agama untuk kepentingan generasi seterusnya agar mengenali tokoh agama yang seangkatan dengan Tok Kenali ini. Aku masih tidak jumpa sumber sahih yang menceritakan maklumat lengkap berkaitan guru-guru beliau, kitab-kitab karangan beliau (kalau ada), pondok Tok Bachok (sekarang telah tiada) dan individu yang pernah menuntut dengan beliau. Mungkin ada sahabat yang dapat membantu dalam usaha aku ini.


Masih ada waris yang dapat memberi maklumat berkaitan agenda aku ini, tapi aku mencari sumber-sumber sekunder untuk mengukuhkan lagi penyelidikan ini. Yang aku jumpa setakat ini hanya buku berkenaan ulama’-ulama’ Nusantara terbitan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan.


Dipendekkan cerita, dapatlah aku membeli beberapa buah buku untuk aku jadikan bekal di rumah nanti. Antara buku yang aku cari selama ini dan kutemuinya di sini adalah ”Pertembungan Tamadun dan Pembentukan Semula Orde Dunia” oleh Samuel P. Huntington. Buku ini telah diterjemahkan oleh Dewan Bahasa & Pustaka.


Setakat masa aku mencoret ’journal’ ini, alhamdulillah aku telah berjaya menghabiskan sebuah buku bertajuk ”Memoir Politik Asri – Meniti Arus”, terbitan Penerbit UKM yang didapati sewaktu pesta buku ini. Aku dapat mengukuhkan pengetahuan berkaitan sejarah perjuangan tokoh terawal PAS yang sekarang ini mungkin ramai ’penganut’ setia PAS akan cebik muka bila buka cerita pasal sumbangan Dato’ Mohd Asri Haji Muda. Mungkin juga ada yang tidak mengenali tokoh politik negara ini. Pasal apa?Haa, baca dan telitilah sendiri mana-mana makalah atau buku yang berkaitan beliau.


Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2009 banyak memberi impak kepada semua sama ada pengunjung, penerbit buku, penulis buku, artis dan tidak terlepas juga penyewa ruang PWTC (sudah serik untuk beli makanan di sana : nasi goreng=RM6.00 dan air mineral 700ml=RM3.00) serta pihak PWTC sendiri (dapat mempromosikan tempat mereka ).


Penganjuran yang menganjur ke arah pembentukan budaya ilmu dalam masyarakat seperti ini perlu diadakan lebih kerap. Walau bagaimanapun janganlah ada pihak yang mengambil peluang ini untuk mengaut keuntungan semata-mata. Pupuklah mentaliti yang sihat untuk memberi sumbangan kepada masyarakat.


Dalam diskusi ilmiah di saluran TV1 minggu lepas (Di Luar Lingkaran), amat menarik tajuk yang dibincangkan. ”Melarik Generasi Minda Pertama” (kalau tidak salah) tajuk perbincangan yang menghadirkan tiga orang panel yang mewakili penulis, penerbit buku dan institusi yang bertanggung jawab dalam penterjemahan negara. Apa yang ingin disentuh, masing-masing panel mengemukakan hujah tersendiri. Apa yang diperhatikan masih ada unsur kepentingan peribadi semata-mata dalam usaha bersama untuk melahirkan generasi celik ilmu dalam masyarakat kita. Rasanya itulah penyebab secara tidak langsung menjadikan masyarakat kita kurang berminat untuk baca buku.


Contoh mudah, harga buku yang dijual dengan harga tinggi. Memang kita faham untuk menerbit sabarang penulisan perlu dana besar tetapi tidakkah kita sanggup untuk berkorban sedikit dengan tidak mengaut untung terlalu banyak? Ada cara jika difikirkan secara kreatif untuk menghasilkan bahan bacaan dengan modal sedikit tetapi mampu memberi banyak manfaat kepada pembaca.


Rasanya panjang betul ’journal’ aku kali ini..Niatnya hanya untuk merekodkan perjalanan sabagai manusia yang sentiasa lupa dan ingin berkongsi dengan para sahabat.


Wallahua’lam..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan