Khamis, 16 April 2009

Melahirkan Generasi Al-Quran

Oleh : IbnuGhazali

Selawat dan salam diungkapkan ke atas junjungan besar penghulu nabi-nabi utusan Allah Azza Wajalla, Rasulullah S.A.W., ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda dan solafus soleh.

Pengorbanan besar sekalian pembawa risalah tauhid amat bermakna ke atas kita umat Nabi Muhammad S.A.W. yang hidup pada akhir zaman. Tanpa panduan yang ditinggalkan tidak mungkin kaum muslimin dapat hidup mengikut atas jalan yang lurus.


Sekiranya kaum muslimin berpegang teguh dengan Al-Quran dan As-Sunnah, insyaAllah semuanya akan menjadi mukmin yang bertaqwa kepada Allah S.W.T. Bumi akan diimarahkan dengan terancang. Nikmat akan dikecapi dengan adil. Bagi melahirkan generasi sedemikian rupa, individu muslim perlu memiliki simpulan yang kukuh agar tidak terlerai di kemudian hari.

Tidak dapat tidak simpulan yang diperlukan mestilah diikat dengan aqidah sebenar yang berpaksikan kepada dua elemen terpenting tadi iaitu Al-Quran dan As-Sunnah. Apabila kaum muslimin memahami asas-asas agama, tidak payah untuk mengamalkan prinsip-prinsip yang dianjurkan oleh Islam.

Oleh itu, amat bertepatan dengan era globalisasi pihak bertanggung jawab mengambil inisiatif mengadakan program-program menghafaz Al-Quran bagi melahirkan generasi Al-Quran. Bukan hanya menghafaz tetapi menghayati isi kandungan Al-Quran untuk diamalkan dalam kehidupan. Janganlah kita menjadi seperti kaum Yahudi dan Nasoro yang mempertikaikan perintah Raja Sekalian Alam tanpa beramal.


Julung-julung kalinya negeri Kelantan Darul Naim menjadi tuan rumah bagi penganjuran Majlis Menghafaz Al-Quran Peringkat Kebangsaan Kali ke-30 baru-baru ini. Penulis amat sukacita dengan penghormatan yang diberikan kepada negeri di bawah pimpinan Tok Guru.


Kompleks Balai Islam, Lundang

Sudah nampak sekarang semua pihak mula membuka mata dan sedar tentang kepentingan pengamalan Islami dan Sunnah diterapkan dalam kehidupan harian kita sebagai kaum Muslimin. Mungkin hal ini didorong oleh kegusaran kita berkenaan kerosakan akhlak dan sahsiah kaum Muslimin yang semakin parah. Alhamdulilah, ramai yang telah sedar untuk berbalik kepada Al-Quran. Namun, tidak dinafikan masih ramai yang tetap dengan sikap angkuh, bongkak dalam menyebar risalah Tauhid, mereka memilih kelompok-kelompok tertentu untuk berdakwah. Sedangkan Islam itu rahmatan lil a’lamin.

Majlis Menghafaz Al-Quran Peringkat Kebangsaan Kali ke-30 amat bermakna kerana inilah kali pertama penulis menghadiri majlis ini. Sebelum ini tidak berkesempatan langsung untuk menghadiri majlis Menghafaz Al-Quran atau majlis tilawah Al-Quran. Mungkin dihambat oleh kesibukan sebagai pelajar dan pelbagai rintangan yang menghalang. Kali ini penulis amat bersyukur kehadrat Allah S.W.T. kerana diberi ruang cuti yang panjang untuk dimanfaat bagi aktiviti berfaedah.

Mudah-mudahan majlis yang berorientasikan pengisian rohani ini makin diperbanyakkan oleh pihak yang berwajib. Sesungguhnya syabab di luar sana ramai yang dahagakan pengisian rohani sebenarnya jika kena caranya, bukan pembangunan fizikal semata-mata…


Upacara penutupan Majlis Menghafaz Al-Quran Peringkat Kebangsaan Kali Ke-30 diserikan dengan persembahan daripada kumpulan Hijjaz (Kumpulan ikon penulis)


Tiada ulasan:

Catat Ulasan